Laman Utama
Nak Anak Puasa Penuh, Scha & Awal 'Umpan' Lara Percutian Ke Jepun Selepas Raya - "Itu Kadang- Kadang Dia Risau Tak Dapat Puasa..."
Pelakon Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 39, akui seronok melihat pencapaian anaknya sulungnya, Lara Alana yang kini sudah mula berpuasa penuh.
Kata Scha setakat lebih dua minggu berpuasa, Lara hanya tinggal beberapa hari sahaja tidak berpuasa.
"Kalau tahun lalu, Lara puasa macam setengah hari sahaja, tapi alhamdulillah tahun ini dia berpuasa penuh.
"Kami nampak dia lebih bersedia dan relaks. Malah tenaga dia juga banyak, sehingga boleh pergi tuisyen semua. Jadi nampak improvement.
"Saya bangga dengan dia dalam masa ada rasa was-was lah juga adakah dia ada batal puasa di sekolah atau tidak. Manalah tahu kan dia pun masih kecil.
"Puasa ni pun dia ada mengadu kata penat serta sering tanya sampai bila kena berpuasa dan sebagainya. Jadi, kami banyak buat aktiviti dan buat dia lupa dengan rasa lapar dan penat," katanya kepada Astro Gempak.
Scha ditemui bersama suaminya, Awal Ashaari di Majlis Astro Screening 2023 yang diadakan di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Sementara itu, Awal memberitahu demi menggalakan anaknya berpuasa Ramadan ini dia menggunakan cara dengan menjanjikan ganjaran untuk bawa bercuti ke Jepun.
"Saya dan isteri sebenarnya kami telah umpan dia (Lara) dengan beritahu kalau berjaya puasa penuh, kami akan bawa dia ke Jepun. Sebabnya dia suka Mario jadinya kami rancang untuk bawa dia berjalan ke Mario World di Osaka, Jepun.
"Kebetulan pun, memang rancang lepas hari raya nanti kami nak bercuti ke Jepun. Jadi alang-alang gunakan itu untuk umpan dia.
"Itu yang kadang-kadang dia risau juga, sebab dia ada tanya kalau puasa tak penuh masih boleh ke pergi Jepun ke? Kami jawab, boleh sahaja.
Bagaimanapun jelas Awal atau nama lengkapnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, dia tetap menekankan kepada anak sulungnya itu bahawa puasa adalah satu kewajipan sebagai seorang muslim.
"Dalam masa yang sama kami tetap berpesan pada dia yang puasa ini adalah kewajipan, kami ajar dia secara perlahan-lahan.
"Tidak memaksa pun, kalau dia tidak larat tidak mengapa. Ia satu proses pembelajaran dan mendidik dir," ujarnya
Sekadar info, Awal dan Scha telah mendirikan rumahtangga pada Mei 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Lara Alana, 9, dan Lyla Amina, 2.