GAYA HIDUP

Nak Masuk Universiti? Anda Perlu Ada 10,000 Pengikut Di YouTube!

Hanafis Haris 17/06/2019 | 10:25 MYT
Sebuah universiti di Indonesia menggunakan pendekatan berbeza bagi kemasukan pelajar baru apabila menetapkan syarat perlu menjadi bintang YouTube.

Difahamkan National Development University Veteran Jakarta (UPNVJ) menawarkan tempat kepada bakal pelajar yang mempunyai saluran YouTuber dengan sekurang-kurangnya 10,000 pengikut dan menghasilkan kandungan asli yang sudah ditonton lebih 100,000 kali.

Tidak cukup dengan itu, kesemua pelajar yang memohon perlu menjalani ujian lengkap termasuklah menghasilkan video sepanjang tiga hingga lima minit.

Menurut wakil universiti itu, antara jurusan yang ditawarkan di bawah skim berkenaan termasuklah bidang ekonomi, sains politik dan sosial, perundangan kejuruteraan dan komputer.

“YouTube merupakan platfrom media terbaik untuk menyampaikan kandungan dan pesanan positif. Kami menggalakkan pelajar ‘mempengaruhi masyarakat’.

"Kaedah ini wujud berikutan persaingan memasuki universiti di Indonesia amat sengit dengan jumlah penduduk sekitar 260 juta orang." kata wakil berkenaan kepada Jakarta Post.
#Universiti #YouTube #Sosial Media