Gaya Hidup
Nak Pinjam Duit? Ini Perkara Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Buat Personal Loan
Dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat, mesti ada dalam kalangan anda yang mempunyai hasrat untuk melakukan pinjaman peribadi.
Pandemik COVID-19 yang melanda dunia bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan, malah ia juga menjadi antara penyebab sesetengah orang kesempitan wang.
Tapi, wujud satu persoalan yang bermain bermain di fikiran.
PERLU KE NAK BUAT PERSONAL LOAN?
Untuk pengetahuan anda, pinjaman peribadi merupakan PUNCA MUFLIS NOMBOR 1 di Malaysia!
Sebenarnya, ramai orang jatuh ke dalam perangkap pinjaman peribadi selepas mereka berpuas hati mendapat sejumlah wang pinjaman yang banyak tanpa memikirkan sama ada mereka mampu membayarnya atau tidak.
Jom lihat beberapa contoh situasi yang seseorang biasanya berfikir-fikir untuk mengambil pinjaman peribadi:
Membeli barang idaman
Sama seperti hutang jenis yang lain, membuat pinjaman peribadi tak digalakkan kecuali ia betul-betul perlu, contohnya kecemasan sebab perubatan.
Kalau anda fikir nak ambil pinjaman untuk bercuti ke luar negara atau membeli telefon pintar model terbaru, lupakan sahaja hasrat anda!
Sebaiknya, jika anda ingin membeli barang idaman, kumpul wang dan dapatkannya tanpa meminjam!
Membuat pelaburan
Ada individu yang membuat pinjaman peribadi dan menggunakan wang terbabit untuk melabur dalam saham dan pelaburan lain.
Tapi ingat, perkara sebegitu mempunyai risiko yang tinggi.
Biasanya, penjual produk pelaburan akan mempromosikan pulangan yang sangat menarik - tak ada satu pun yang dijamin.
Bayangkan anda dah buat pinjaman peribadi dan gunakan duit itu untuk beli saham.
Kalau harga saham yang anda beli jatuh, anda bukan saja rugi duit pelaburan anda, tapi anda juga terjerat dengan bayaran balik pinjaman peribadi anda!
Melangsaikan hutang kad kredit serta hutang-hutang lain
Mereka yang ada beberapa kad kredit kadang-kadang berfikir, membuat pinjaman peribadi mungkin cara yang lebih baik untuk selesaikan hutang-hutang yang belum dibayar.
Perkara terbabit mungkin terjadi, tetapi hanya kalau kadar faedah pinjaman peribadi lebih rendah daripada kadar faedah kad kredit anda.
Berhati-hati dan baca cetakan halus apabila berfikir-fikir nak buat pinjaman peribadi kerana kadar faedahnya, ada yang sama tinggi dengan kad-kad kredit utama!
Kalau anda nak membuat pinjaman peribadi untuk bantu anda selesaikan hutang lain, dapatkan khidmat nasihat di Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) terlebih dahulu untuk dapatkan kaunseling kewangan.
Apapun, kalau anda mengambil keputusan untuk membuat pinjaman peribadi, tolong pastikan ia daripada bank atau peminjam wang berlesen. Jangan sekali-kali buat pinjaman dengan Ah Long!
Beroperasi secara haram, mereka menggunakan cara yang tidak jujur untuk memaksa orang membayar hutang.
Kadar faedah yang dicaj oleh mereka juga tinggi, sehingga 20 kali ganda banyak berbanding peminjam wang berlesen dan bank.
ELAKKAN MEMINJAM DARI AH LONG ATAU LINTAH DARAT!
Jadi, sentiasa berhati-hati dan berbelanja mengikut kemampuan anda. Jangan berhutang sesuatu yang anda boleh elakkan.
Untuk mendapatkan segala nasihat mengenai kewangan, layari laman web Multiply by Creador Foundation atau klik di SINI.
Sumber: Multiply by Creador Foundation
Kredit foto: Finance Capital Market