“Nak Sensasi Pun, Jangan Buat Fitnah!” - Erra Fazira
Penyanyi dan pelakon terkenal Erra Fazira menyelar tindakan sebuah blog yang mengeluarkan artikel tidak benar mengenai dia dan bekas suaminya iaitu Engku Emran.
Erra memohon agar pihak tidak bertanggungjawab itu tidak menyebarkan fitnah memandangkan tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkannya mengenai isu membabitkan Engku Emran.
Menurut penyampai radio Duo Sinar ini juga dia sentiasa menghormati privasi bekas suaminya itu dan pasangan.
“Jangan macam ni… nak sensasi pun, jangan buat fitnah! Saya tidak pernah memberi sebarang komen sebegini. Saya hormati privasi ayah kepada anak saya dan pasangan,” tegas Erra.
Pada perkongsian yang sama, Erra turut menitipkan pesanan kepada semua pihak agar tidak mempersendakan perjalanan hidup orang lain.
“Jangan persendakan perjalanan hidup seseorang bila mana kita sendiri tidak tahu nasib dan perjalanan kita kelak. Sekian,” kata Erra lagi.
Menerusi paparan skrin artikel yang dikongsikan Erra di Instastory itu mengatakan penyanyi itu mendedahkan perangai sebenar Engku.
Terdahulu, Engku Emran dan usahawan terkenal Noor Nabila sah bercerai talak salah pada Isnin selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
Sebelum menikahi Nabila, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan selebriti jelita iaitu Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya.
Dia juga pernah berkahwin dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.