Laman Utama
#NakCakapSikit: Kerana Pulut Santan Binasa...Hati-hati Bila Berbicara Takut Padah Diri Sendiri
Pernah dengar peribahasa ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’?.
Peribahasa ini membawa maksud percakapan kasar atau terlepas kata yang akhirnya mencelakakan diri sendiri.
Hari ni #NakCakapSikit suka untuk mengaitkan peribahasa ini dengan beberapa isu dan situasi semasa yang berlaku.
Bukan hendak mengaibkan atau menjatuhkan sesiapa tetapi sekadar ingin menjadikannya pengajaran dan panduan kepada orang lain juga termasuklah diri sendiri.
Antara yang menarik perhatian #NakCakapSikit ialah mengenai Harian Metro baru-baru ini yang dikatakan telah mencetus kekeliruan terhadap orang ramai gara-gara tajuk ditulis berkaitan suntikan Covid-19.
Kesilapan dilakukan telah menarik perhatian Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang kesal dengan tajuk utama ditulis akhbar terbabit.
Bagaimanapun Harian Metro segera membuat permohonan maaf dan mengakui pemilihan tajuk berita tidak tepat menyebabkan timbul andaian kematian berkenaan berpunca daripada suntikan vaksin.
Mereka turut memohon maaf di atas sebarang kekeliruan yang mencetuskan keresahan mana-mana pihak sejak berita berkenaan berlegar di media sosial.
Tetapi malangnya, isu tidak berakhir malah berbondong-bondong wira papan kekunci menghentam dan mengkritik akhbar tadi menggunakan kata-kata yang tidak sepatutnya.
Ini termasuklah Timbalan Pengurus Besar Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Ir. Dr. Zarulazam Eusofe yang menyifatkan akhbar dan wartawan sebagai sampah.
Menyedari ramai yang tersinggung, terutamanya pihak media dan wartawan Zarulzaman memohon maaf dan kesal dengan ciapan yang dibuat beliau menerusi Twitter.
Tapi yang tak sedapnya, ada pula yang kaitkan kejadian meragut nyawa projek SUKE dengan ‘keceluparan’ beliau ketika sampahkan media. Karma kata mereka.
Kononnya sibuk mencari kesalahan orang lain tetapi kain sendiri carik tak perasan. Semalam dia kecam orang, hari ini orang pula kecam dia!
Begitulah putaran roda.
Wira papan kekunci pula, walaupun keduanya tiada kaitan, apa mereka peduli? Selagi boleh kecam, kecam sampai lebam!
What ever it is damage has been done! Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa...
Semoga isu ini tidak lagi berpanjangan dan berhentilah menyalahkan di antara satu dengan yang lain.
Psssttt...Nak cakap sikit ni, kalau orang lain buat salah tegurlah secara berhemah dan profesional ya. Walau apa pun pekerjaan atau siapapun kita reputasi sendiri kenalah jaga.
Hormatilah satu sama lain dan jangan cepat nak jadi juara di media sosial!
Pandangan dan pendapat penulis adalah karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.