Laman Utama
#NakCakapSikit: Najib Cadangkan GST Dilaksanakan Semula Demi Kepentingan Rakyat…What Say You?
Hari ini #NakCakapSikit tertarik dengan berita tentang bekas Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyarankan kerajaan melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Bekas PM kesayangan ramai itu juga mahu GST dilaksanakan secepat mungkin jika cadangannya diterima, dan kalau boleh selepas negara pulih daripada pandemik Covid-19.
Persoalannya sekarang, berapa ramai yang bersetuju dengan cadangan bekas PM itu? Berapa ramai yang faham tentang sistem pelaksanaan GST.
Sebelum ini ketika pertama kali GST diperkenalkan ramai yang menentang. Ada yang kata GST ini membebankan rakyat tetapi menguntungkan ‘mereka yang dah sedia untung’. Betul ke?
Bagi #NakCakapSikit, jika GST ingin dilaksanakan semula kerajaan harus memberi gambaran lebih terperinci mengenainya.
Biar semua orang faham dan tidak tertanya-tanya apakah GST ini fakta atau auta.
Bagi #NakCakapSikit, kerajaan perlu melakukan kajian hasil kutipan GST dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Kajian bukan sahaja dalam konteks perlaksanaan kutipan cukai sebaliknya cara menguruskan perbelanjaan hasil yang diterima.
Bukan sekadar mengutip sahaja sebaliknya bagaimana kerajaan mahu membelanjakan wang, itu yang rakyat perlu tahu.
Selain itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga perlu lebih tegas dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Ia penting bagi mengekang segelintir peniaga yang sesuka hati menaikkan harga barang atas alasan “GST semua barang kena cukai”.
Apa yang kita mahu ialah, semua pihak iaitu peniaga dan pengguna berasa selesa.
Jika bercakap tentang kejujuran dan hemah, sepatutnya peniaga perlu ada kedua-dua faktor tersebut supaya pengguna akan membeli barangan secara selesa tanpa syak wasangka.
Mana tidaknya, sebelum ini sebungkus asam masin yang berharga 50sen pun dikenakan cukai GST oleh peniaga.
Jadi, di mana silapnya? Pengguna yang tidak faham atau peniaga yang keliru?
Apa pun keputusan dan tindakan yang diambil, kerajaan perlu mengutamakan kebajikan masyarakat.