Hiburan
Naqiu Dedah Ditipu Hampir RM100,000, Nekad Ambil Tindakan Undang-Undang - “Mungkin Dia Anggap Saya…”
Penyanyi Naqiu nekad akan terus mengambil tindakan terhadap seorang individu yang didakwa telah mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan terhadapnya sehingga menyebabkan kerugian hampir RM100,000.
Menurut Naqiu, atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 38, pihaknya telah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada individu tersebut melalui peguamnya pagi tadi.
“Pada awalnya, saya tidak mahu memperbesarkan isu ini, tetapi apabila saya berdiam diri, ia seolah-olah memberi ruang kepada individu tersebut untuk terus mempermainkan saya. Mungkin dia anggap saya penakut dan tidak tahu apa-apa, jadi rasanya sekarang saya perlu bertindak.
“Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku, tetapi apa yang dilakukan oleh individu ini sudah melampaui batas. Dia bukan sahaja cuba memburukkan nama saya, malah turut mencabar saya.
“Dia menggunakan nama saya untuk membuat video promosi sebuah jenama tanpa pengetahuan saya. Selain itu, dia juga meminta saya membuat lagu tanpa sebarang bayaran, sekali gus membuang masa saya sepanjang tahun lalu,” katanya kepada Gempak.
Naqiu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya, Khayalan di Tropical KLUP pada Rabu.
Pada masa sama, pelantun lagu Rindu Separuh Nyawa itu turut hadir bersama peguamnya, Aizat Azam dari Tetuan Legalais.
Kongsi juara Gegar Vaganza musim keenam itu, individu terbabit turut mendakwa telah membuat bayaran, selain memaksa Naqiu menyempurnakan projek pembikinan sebuah single.
“Saya sebenarnya tidak begitu mengenalinya, tetapi salah seorang daripada pasukan saya telah memperkenalkannya kepada saya. Dalam satu pertemuan sebelum ini, dia menyatakan hasrat untuk menghasilkan lagu walaupun dia tidak mempunyai bakat.
“Ketika di peringkat demo, dia mendakwa saya memaksanya untuk merakamkan single tersebut kepada orang-orang dalam industri seni. Lebih mengejutkan, dia memberitahu sudah membayar kos projek itu, sedangkan saya tidak menerima satu sen pun. Malah, masa saya juga terbuang.
“Logikkah saya memaksa seseorang yang tiada bakat untuk menyanyikan lagu saya, sedangkan saya sendiri tidak mendapat sebarang bayaran?” ujarnya.
Dalam pada itu, Naqiu memaklumkan pengurusannya, Mindorder, turut menjadi mangsa dan telah menghantar LOD kepada individu terbabit.
Sementara itu, Aizat menyatakan pihaknya berharap isu ini dapat diselesaikan di luar mahkamah.
Terdahulu, Naqiu dilaporkan menjadi mangsa penipuan oleh seorang individu yang dikenali sebagai usahawan produk.