Nash Kongsi Detik Cemas Badan Tiba-Tiba Cramp & Kaki Tak Boleh Gerak - “Sakitnya Allah Sahaja Yang Tahu…”
Penyanyi Datuk Nash berkongsi detik cemas apabila dia berdepan kesukaran untuk bergerak akibat tersalah urat ketika sedang mengambil air wudhuk untuk menunaikan solat maghrib baru-baru ini.
Menerusi perkongsian Nash, 63, di laman Facebook miliknya, sebaik sahaja selesai solat, dia terus dibawa ke pusat perubatan di Shah Alam dan doktor memberikan suntikan untuk menghilangkan rasa sakit.
“Assalamualaikum… Semalam (Sabtu) saya balik dari Sarawak terus pergi jemputan wedding anak kawan saya di Mindef KL. Saya datang agak lewat sikit dan sebelah malam ada lagi satu jemputan kahwin Aizat kat Sg Long Kajang.
“Tu yang macam nak cepat-cepat siap. Tiba kat rumah dah nak masuk waktu maghrib… saya pun ambil wudhuk sambil berdiri dan bila membongkok nak basuh lengan tangan, pinggang saya terus tersentap dan terus tak boleh berdiri tegak.
“Sakitnya Allah sahaja yang tahu. Seluruh badan saya cramp, kaki tak boleh gerak. Panggil anak saya untuk bantu saya berjalan. Solat maghrib terpaksa pakai kerusi.
“Selesai solat minta anak saya dan menantu saya hantar ke hospital Avesena Shah Alam. Doctor terus bagi injection supaya saya rasa lega,” kongsinya.
Masih lagi terasa sakit, Nash memberitahu tujuannya berkongsi keadaannya itu kerana ingin memohon agar semua orang mendoakannya supaya cepat sembuh.
“Sekarang ni masih sakit, jalan macam orang umur 90 tahun. Allahuakhbar… doakan saya cepat sembuh ya. Banyak lagi tugasan yang belum selesai. Amin.
“Saja nak kongsi supaya sahabatku sekalian doakan supaya saya cepat sembuh,” katanya.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!