Laman Utama
“Nasib Baik Dia Tak Upload Benda Tak Patut”- Siti Nurhaliza Bagi Aafiyah Pegang Telefon Bila...
Penyanyi tersohor negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza mengakui hantaran di TikTok baru-baru ini yang didakwa netizen menunjukkan seperti ‘secret code’ itu dibuat oleh anak sulungnya Siti Aafiyah, 5, tanpa sengaja.
Menceritakan kembali insiden itu, Siti Nurhaliza, 44, hanya menyedari perkara itu selepas ia dimuat naik dan mendapat komen daripada warga maya.
“Dia dah besar dia pun mengikuti juga TikTok sebab selalu tengok saya muat naik hantaran dan sebagainya. Jadi, saya memang bagi juga dia pegang telefon bimbit sekali sekala.
“Sebelum ini pun saya dah nampak dia menari la dan suka-suka tersenyuam depan telefon.
“Bila sedar itu mengenai hantaran itu, saya tahu ni mesti kerja Aafiyah tapi nasib baik dia tak upload benda-benda yang tak patut.
“Saya pun ada berpesan pada dia selepas ini jangan upload yang bukan-bukan. Nasib baik dia hanya type namanya sendiri serta muat naik lagu saya sahaja,” katanya kepada Astro Gempak.
Siti Nurhaliza ditemui oleh Gempak ketika menghadiri majlis pelancaran Festival Muzik KEPCI 2023 anjuran KFC Malaysia di Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor pada Selasa.
Menerusi hantaran yang dimuat naik, didapati tiada sebarang visual atau informasi pada video tersebut namun hanya tertera nama Aafiyah dan juga dimasukkan lagu berjudul Menjaga Cintamu dari filem Anwar: The Untold Story.
Hantaran tersebut telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan warganet dan peminat Siti Nurhaliza dengan menyifatkan ianya begitu misteri.
Kata Siti, meskipun dia memberi sedikit kebebasan untuk Aafiyah menggunakan telefonnya namun sebagai ibu bapa dia tetap mengawalnya.
“Budak-budak sekarang semakin bijak. Kadang-kadang ada benda saya tak tahu atau lagu baru dia dah tahu dahulu.
“Saya pun ‘nervous’ juga lah bila lihat perkembangan anak-anak sekarang tapi apa-apa pun sebagai ibu bapa kita perlu mengawalnya dengan baik,” ulasnya lagi.
Selain Aafiyah, Siti juga mempunyai seorang anak lelaki Afwa yang kini berusia 3 tahun. Siti menimang cahaya mata selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga dengan Datuk Sri Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K.