Gaya Hidup
Neelofa Bercakap Mengenai Modest Fashion & Hijab Bersama Michael Kors
Pertemuan empat mata hos dan pelakon popular, Neelofa bersama pereka fesyen Amerikat Syarikat tersohor, Michael Kors baru-baru ini bukanlah sekadar pertemuan biasa.
Tidak hanya berbicara mengenai ruang lingkup fesyen secara global, pengasas Naelofar itu turut mengambil peluang keemasan tersebut untuk bertanya perihal 'modest fashion' (fesyen busana sopan) dan hijab.
“Saya diberi peluang untuk meluangkan masa bersama Michael Kors selama 10 minit dan peluang tersebut saya gunakan sebaik mungkin untuk bertanya pendapatnya tentang modest fashion yang semakin mendapat perhatian dan penerimaan orang luar.
“Michael Kors memberitahu saya, beliau mereka busana bukan untuk kelompok individu tertentu sahaja, ianya meliputi kesemua tidak mengira perbezaan warna kulit, usia, ketinggian, saiz dan termasuk untuk mereka yang mahukan pakaian sopan.
“Michael turut menjelaskan, beliau banyak belajar daripada model berhijab bernama Ugbad yang diberi kepercayaan menjadi peragawati pembuka bagi pertunjukan fesyennya baru-baru ini. Menerusi Ugbad, Michael dapat mempelajari bahawa hijab datang dalam pelbagai saiz," jelas Neelofa.
Dalam pada itu Neelofa turut mendedahkan pandangan Michael tentang penggayaan hijab dalam bentuk turban.
“Kata Michael, hijab boleh distailkan dalam bentuk turban dan boleh digayakan samada ke kiri, kekanan atau kebelakang. Michael turut memberi sedikit bayangan sesuatu yang istimewa mungkin akan dilakukannya untuk koleksi musim depan, semestinya saya tidak menyangkakan itu jawapan yang saya terima dari beliau” kongsinya lagi.
Neelofa telah memuat naik sesi temu bual bersama mogul fesyen itu di Instagramnya.
Hos dan pelakon popular itu kini berada di New York, AS bagi memenuhi jemputan Minggu Fesyen New York SS20 sejak minggu lalu.
Antara pertunjukan fesyen yang dihadirinya adalah Long Champ, Tommy Hilfiger dan Tory Burch.