Laman Utama

Netizen Sabar Dulu, Ini Bukan Mural Tak Senonoh, Majlis Daerah Kuala Selangor Ada Jawapan

Maliah Surip
21/04/2021
01:20 MYT
Sponsor Banner
Netizen Sabar Dulu, Ini Bukan Mural Tak Senonoh, Majlis Daerah Kuala Selangor Ada Jawapan
Media sosial dikejutkan dengan penularan dakwaan berkaitan lukisan mural tidak senonoh di dinding Balai Seni Art Gallery Kuala Selangor, semalam.
Mural tersebut memaparkan lakaran tiga wanita tanpa seurat benang yang mengejutkan orang awam, apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.
Bertindak pantas, pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) memberi respons terhadap aduan yang juga telah disiasat oleh pihak polis tersebut.
Gempak yang meninjau laman Facebook rasmi MDKS mendapati pihaknya memaklumkan memandang merius dakwaan pelayar media sosial mengenai gambar lukisan Balai Seni Sasaran Kuala Selangor yang tular di media sosial.
"Maklumat awal yang diterima oleh MDKS pada jam 7 malam adalah lukisan tersebut masih dalam 20 peratus (20%) proses lakaran dan lukisan tersebut menjadi tular di media sosial.
"Sehubungan itu, MDKS telah mengarahkan pelukis untuk menyiapkan bahagian yang sensitif dengan kadar segera dalam tempoh tiga jam. Lukisan disempurnakan pada jam 10.00 malam, 40 peratus siap (40%) dan dijangka siap sepenuhnya pada/sebelum 26 April 2021," tulis kenyataan yang dikeluarkan.
Bersama kenyataan yang dikeluarkan, pihak MDKS turut memuat naik beberapa keping foto progres dari pelukis mural tersebut. Salah satunya memaparkan mural tiga wanita tanpa seurat benang yang menghiasi dinding Balai Seni Art Gallery Kuala Selangor sudah berpakaian.
Mural tiga wanita saling berpegangan tangan itu dilihat memakai gaun berwarna putih dan dipercayai masih dalam proses untuk disiapkan sepenuhnya.
"MDKS turut memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana penggiat seni untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga sensitiviti budaya tempatan dalam penghasilan karya seni dan merujuk kepada MDKS terlebih dahulu," kata kenyataan itu lagi.
Sebelumnya BERNAMA melaporkan polis telah menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata satu laporan polis telah dibuat oleh orang awam pada 10 malam semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat kepada harta benda dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah.
Beliau berkata siasatan awal mendapati projek seni lukis yang mendapat kelulusan pada 22 MDKS Mac lepas, telah dimulakan oleh Persatuan Kesenian Sasaran Kuala Selangor pada 12 April.
"Bagaimanapun pihak MDKS tidak secara jelas diberitahu apakah bentuk atau jenis mural yang akan dilukis pada dinding tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli berkata siasatan dari pelukis berkenaan menyatakan bahawa lukisan tersebut perlu dilukis mengikut lapisan demi lapisan sehingga selesai dan tiada unsur-unsur mural yang dilukis itu mencetuskan perbalahan kaum atau menghina pihak tertentu.
Kredit Foto: BERNAMA Facebook: MDKS
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar