Laman Utama
Neymar Menangis Lepas Dikeluarkan Brazil Pada Game Pertama Piala Dunia Qatar 2022
Bintang bola sepak Brazil, Neymar dilihat menangis di bangku simpanan selepas terpaksa meninggalkan pasukannya sewaktu menentang Serbia dalam Piala Dunia Qatar 2022.
Menerusi laporan ESPN, pemain berusia 30 tahun itu menangis sewaktu menerima rawatan di bangku simpanan.
Neymar terpaksa dikeluarkan pada minit ke-80 selepas mengalami kecederaan yang dianggap serius pada bahagian buku lali kanan. Kecederaan itu diakibatkan ‘diserang’ oleh pemain Serbia, Nikola Milenkovic.
“Neymar mengalami kecederaan pada bahagian buku lali kanan dan mengalami trauma kesan daripada hentakan lutut oleh pemain Serbia.
“Kami melakukan rawatan seawal mungkin di bangku pemain, namun dia perlu menjalani fisioterapi dan menunggu 24 sehingga 48 jam untuk memastikan dirinya sihat dan boleh kembali bermain,” tulis kenyataan rasmi dari pasukan doktor Brazil, Rodrigo Lasmar seperti yang diberikan kepada media.
Ironi sepanjang perlawanan berlangsung, Neymar memang menjadi sasaran beberapa pemain sebagai langkah menyekat kemaraannya membantu Brazil memenangi perlawanan yang berlangsung di Stadium Lusail Iconic.
Meski Neymar menangis dan peminat bimbang dia tidak dapat bermain pada perlawanan seterusnya kerana kecederaan yang dialami, pasukan dan peminat Brazil tetap ‘berpesta’ selepas menumpaskan Serbia 2-0.
Brazil dipercayai sekali lagi mahu mengulang kegemilangan mereka dengan pemburuan kali keenam sebagai juara Piala Dunia di Qatar.