Berita
Nissa Lebih Popular Daripada Anggota Kumpulan Sabyan, Netizen Pilih Lagu Selawat
Populariti lagu Deen Assalam nyata menaikkan nama kumpulan Sabyan dikenali ramai tapi peminat lebih mengenali vokalisnya, Nissa berbanding anggota kumpulan yang lain.
Pemain keyboard kumpulan ini, Ahmad Fairuz atau Ayus memberitahu kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2015 ini pada mulanya bermain muzik selama setahun tanpa penyertaan Nissa pada ketika itu.
"Sebelum Sabyan seperti hari ini, pada awalnya kami sama seperti band gambus-gambus lain di Indonesia dan memang sasaran muzik kami adalah anak muda.
"Mahu tidak mahu untuk tarik minat golongan muda, lagu-lagu bukan saja untuk golongan kanak-kanak sebaliknya hingga dewasa," katanya pada sidang media Konsert Sabyan Gambus Live in Malaysia 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.
Akuinya, memang benar Nissa mengangkat nama Sabyan tapi tidak pasti faktor tersebut kerana beranggapan penyanyi wanita yang cantik dan mempunyai suara yang bagus banyak di negara mereka.
"Banyak netizen yang suka pada Nissa dan memilih Sabyan membawakan lagu selawat. Sebelum ini, kami bawa pelbagai genre seperti pop dan balada tapi netizen lebih ke arah selawat," katanya.
Tambahnya, kumpulan ini sudah menerima pelbagai tawaran mengadakan persembahan di luar negara dan jadual persembahan mereka penuh sehingga Ogos tahun depan.
Bagi Nissa, dia dari dulu tidak berminat menjadi penyanyi solo tapi mempunyai keinginan sebuah kumpulan sehingga Ayus mengajaknya menyertai Sabyan.
"Saya lebih suka menyanyi bersama band daripada 'minus one' kerana ia suatu yang berbeza," katanya.
Buat pertama kalinya, Sabyan mengadakan persembahan bertaraf konsert di negara ini yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 12 Januari 2019.
Konsert yang dibawakan MH Laguna Sdn Bhd ini dijangka berlangsung selama 3 jam termasuk menjemput penyanyi tempatan iaitu kumpulan UNIC, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi sebagai artis yang akan membuat persembahan pembukaan.
Teks oleh: Elrafaei Sapi