Noh Salleh & Mizz Nina Sah Cerai, Minta Hormati Tempoh Idah
Penyanyi Noh Salleh akhirnya mengesahkan perceraiannya dengan selebriti Mizz Nina selepas desas-desus mengenai keretakan rumah tangga mereka diperkatakan.
Noh atau nama lengkapnya Mohammad Noh Salleh, 37, itu berkongsi khabar duka itu di akaun Instagram miliknya sebentar tadi.
Vokalis Hujan itu memberitahu keputusan tersebut diambil selepas mempertimbangkan banyak aspek sebelum perkahwinan yang dibina selama 11 tahun itu diakhiri secara baik.
“Setelah berusaha dan memikirkan banyak pertimbangan, kami bersetuju untuk berpisah secara baik,” katanya.
Menurutnya, dia dan Nina telah diberkati dengan sebuah perjalanan yang dipenuhi momen indah, jatuh dan bangun bersama.
“Assalamualaikum. Saya dan Nina (isteri) mahu membuat satu pengumuman penting.
“Selepas melalui pelbagai cabaran dan berbincang, kami akhirnya sepakat untuk berpisah dan membawa haluan sendiri.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana berpeluang untuk menjalani kehidupan indah selama 11 tahun dan melalui pelbagai dugaan, jatuh serta bangun bersama-sama.
“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong yang selama ini banyak memberi sokongan dan kasih sayang kepada kami selama bertahun-tahun. Jangan risau, kami masih berkawan dan baik,” katanya lagi.
Tambahnya, semua yang terjadi sudah pun tersurat dan ditakdirkan Allah SWT selain memohon doa untuk kehidupan terbaik mereka selepas ini.
“Kita hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan. Mohon doakan kami dapat menjalani kehidupan di sepanjang tempoh idah.
“Saya amat menghargai kalian yang menghormati privasi kami berdua,” tulisnya.
Pergolakan dalam rumah tangga pasangan selebriti Mizz Nina dan Noh Salleh dikhabarkan telah menemui titik noktah selepas timbul dakwaan memberitahu kedua-duanya telah sah bercerai talak satu.
Pasangan itu dikatakan sudah bercerai dalam satu prosedur di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, semalam.
Difahamkan juga, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 42, dan suaminya iaitu penyanyi, Mohammad Noh Salleh, 37, telah memfailkan perceraian pada 14 Jun lalu di mahkamah sama.
Sebelum kisah perceraian Nina dan Noh tersebar hari ini, seorang pengguna Twitter telah membuat ciapan dalam Twitter seolah-olah memberi bayangan bahawa pasangan itu sudah sah bercerai.
“Makin takut nak kahwin bila dengar orang cerai-berai ni. Hari ini (semalam) pasangan selebriti yang punyalah baik depan media bercerai pula pagi tadi dekat Mahkamah Gombak Timur. Tapi berita tak ‘cover’ pula,” ciap Twitter itu.
Sementara itu, Mizz Nina menerusi Instagram memberi peringatan tentang kuasa doa dan hendaklah sentiasa mendoakan kebaikan buat semua orang.
Terdahulu, pada 13 Julai lalu, Noh menyangkal dakwaan perkahwinannya bersama Mizz Nina berdepan masalah.
“Entahlah tiada komen. Korang semua kena tipu. Semoga berjaya (good luck),” katanya kepada pihak media.
Sekadar info, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011. Sekitar April lalu, pasangan itu memperkenalkan Musa sebagai anak angkat bagi menyerikan rumah tangga mereka