Laman Utama
Nomad Kecewa Ditipu Kawan Baik Sendiri – “Saya Percaya Pada Dia Untuk Labur Modal Buka Kafe, Tapi…”
Penyanyi Nomad mengakui kecewa dan terkilan apabila ditipu sehingga puluhan ribu ringgit oleh sahabat baiknya sendiri.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ketika mereka merancang untuk membuka kafe bersama dan sebagai seorang sahabat Nomad memberi sepenuh kepercayaan kepada sahabat tersebut.
Bagaimanapun kata Nomad segala-galanya terbongkar apabila seorang lagi teman memaklumkan tiada urusan pembelian mesin kopi dibuat melaluinya.
“Saya memang percaya pada dia seratus peratus. Ya, memang betul kafe tersebut bukanlah modal saya seorang, dia juga keluarkan modal.
“Tetapi saya terkilan kerana dia menipu. Itu saja. Saya mula rasa sesuatu tidak kena selepas menghubungi seorang lagi kawan kami, bertanyakan tentang sebut harga mesin kopi.
“Saya terkejut bila kawan saya beritahu tak ada urusan berlaku di antara dia dan pihak yang satu lagi jadi bagaimana hendak keluarkan sebut harga?,” katanya.
Nomad berkata selepas beberapa bulan sahabatnya itu ada membuat bayaran tetapi belum sepenuhnya dan sehingga kini masih tertunggak.
"Saya bukan jenis nak paksa-paksa minta hutang, saya harap kalau dia terbaca ini dia hubungilah saya. Sekurang-kurangnya bagitahu kenapa dan apa masalah.
"Apa pun dia saya tidak anggap sebagai musuh, namun nak rapat macam dulu-dulu tu mungkin tidak" ujarnya.
Tambah Nomad, dia juga mengakui kesilapannya kerana terlalu percaya dan menyerahkan kesemua urusan kepada lelaki tersebut.
“Saya pun salah juga. Tak pantau hanya serah modal bulat-bulat. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan rasanya tidak percaya kepada orang luar dah kot.
“Sekarang ini saya dalam perancangan untuk mengusahakan perniagaan makanan ‘Ikan Celup Tepung (ICT)’ bersama ibu.
“Biarlah saya usahakan jenama ICT bersama Mama. Sekurang-kurangnya risiko untuk pisang berbuah dua kali tu tak ada,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Indigital Music di 10grams di Puchong baru-baru ini.