Hiburan

Nora Ariffin Diceraikan Suami Menerusi Rakaman Video

Asyikin Mayudin
12/08/2024
12:47 MYT
Sponsor Banner
Nora Ariffin Diceraikan Suami Menerusi Rakaman Video
Teka-teki mengenai rumah tangga Datuk Nora Ariffin yang dikatakan goyah akhirnya terjawab apabila penyanyi itu telah diceraikan dengan talak satu oleh suaminya iaitu Dr Rushdi Ramli.
Lafaz cerai itu dibuat Rushdi menerusi rakaman video yang dikongsi penyanyi lagu Dipersimpangan Dilema itu menerusi laman Instagram, pada petang Isnin.
"Saya yang bernama Rushdi Ramli, dengan ini menceraikan dan mentalakkan isteri saya, Wan Norafiza Ariffin dengan talak satu kerana Allah," lafaznya.
Memilih untuk menutup ruang komen, Nora bagaimanapun melahirkan rasa syukur apabila segala urusan sudah selesai dan menganggap hanya Allah yang mengetahui apa yang terjadi.
“Alhamdulillah. Selesai. Allah saja yang tahu,” tulisnya secara ringkas di perkongsian tersebut.
Spekulasi mengatakan rumah tangga penyanyi itu dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Figh & Usul, Universiti Malaya itu goyah sudah bertebaran sejak tahun lalu, namun Nora menyangkalnya.
Nora berkata, dia masih bergelar isteri kepada Rushdi dan hubungan mereka masih dalam keadaan baik.
Penyanyi kelahiran Kelantan itu mendirikan rumah tangga dengan Rushdi dalam satu majlis pada 2021.
Tidak menjelaskan secara terperinci butiran majlis perkahwinannya, Nora memaklumkan bertemu jodoh dengan sahabat baik arwah suaminya, Johan Nawawi.
Sebelum itu, Nora mendirikan rumah tangga dengan Johan pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.
Pada 13 Disember 2019, Nora diuji dengan pemergian anak kedua, Muhammad Syakir Aliff berusia 20 tahun.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar