Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Nora Danish Anggap Luahan Anju Rindukan Nedim Sebagai Sahabat - “Mereka Kawan Lama, Dah Macam Best Buddy"

Mya Amri 17/07/2024 | 03:02 MYT
Pelakon, Nora Danish menganggap hantaran Insta Story aktres Zarina Anjoulie merindui bekas suaminya, Nedim Nazri hanyalah sebagai luahan seorang kawan yang merindui sahabat lamanya.

Anju dan Nedim adalah sahabat lama

Menurut Nora, dia mengetahui bahawa persahabatan antara Zarina atau lebih mesra dengan panggilan Anju itu telah lama bersahabat dengan bekas suaminya.

“Saya percaya mereka berkawan dah lama,sebelum saya lagi, dah lama sangat kira macam dah best buddy lah.

“Saya tidak ada apa dengan Anju, saya dan dia memang okay. Jadi bila Anju memuat naik hantaran begitu saya fikir okay lah seorang kawan merindui sahabatnya.

“Saya memahami mungkin Nedim tengah sakit pada ketika itu mungkin juga ramai sahabat yang merindui dia.

“Saya anggap itu sebagai orang yang merindui kawan atau pun kalau lebih saya tidak kisah, mana-mana sahajalah,” ujarnya.

Nora berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama rantaian Perang Nasi Dagang bertempat di Stor Teater (DBP), Kuala Lumpur pada Selasa.

Jawab dakwaan masih sebumbung

Dalam pada itu, Nora juga turut menjelaskan mengenai dakwaan netizen yang mengatakan dirinya kembali tinggal sebumbung bersama Nedim.

Jelas Nora, timbulnya persoalan itu mungkin disebabkan orang melihat dia menjaga bekas suaminya ketika sakit dan membuat spekulasi seolah-olah mereka kembali bersama.

“Ramai yang DM saya mengenai perkara itu, sebenarnya apa yang buat saya kesal adalah yang bertanya itu pun dalam kalangan kawan-kawan.

“Saya fikir mungkin masa Nedim sakit itu saya baru bercerai, bercerai pula cara baik dan saya juga menjaganya semasa sakit.

“Bagi saya, saya dan dia sudah bersama selama 11 tahun, kita pun sudah biasa dengan diri masing-masing.

“Mungkin bila saya jaga tu orang nampak macam mungkin kami sudah kembali bersama. Jadi disebabkan itu mungkin mereka ingat saya tinggal sebumbung.

“Sebab itu saya terpaksa mengeluarkan kenyataan yang mengatakan kami tidak tinggal sebumbung,” jelasnya.

Nora dan Nedim sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada pukul 8.40 malam.

Untuk rekod, Nora mendirikan rumah tangga dengan Nedim pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.

Sementara itu, Nedim pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Nabilah Khan pada 2011 dan bercerai dua tahun kemudian. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata, Mohamed Nedrin, 12.

#Nora Danish #Nedim #Zarina Anjoulie #Bossned #Sahabat #Anju
;