Hiburan
Nurflix TV Selamat Ditonton Oleh Semua Jenis Golongan
Sebagai suatu usaha untuk memperkasakan pembangunan ekonomi dan sahsiah diri, platform streaming TV Online berkonsep langganan, Nurflix.TV bakal menawarkan kandungan digital baharu, segar, tulen dan selamat ditonton untuk semua jenis golongan dengan berlandaskan aspek adab dan akhlak.
Bagi mencapai tujuan ini, Sutera Hijau Ventures Bhd ini menggunakan khidmat kerjasama dua hala di antara golongan ulama dengan karyawan industri kreatif bagi menghasilkan kandungan-kandungan program yang bermutu dan menghiburkan mengikut landas Islam.
Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix, Syah Mohamed berkata, idea asal untuk mewujudkan Nurflix ini sebenarnya adalah untuk mencipta sebuah ekosistem mampan diri yang dapat memberi manfaat kepada pengguna serta penyedia kandungan menerusi platform yang disediakan.
"Kalau dilihat pada masa ini terlalu banyak kandungan digital yang semakin tidak terkawal, tidak ditapis, tidak memiliki norma dan nilai budaya yang ideal.
"Pada masa yang sama juga, ekosistem mampan diri yang telah dibentuk ini akan dapat membantu menyediakan peluang pekerjaan buat tenaga kerja dan karyawan dalam sektor industri kreatif dan secara tidak langsung ia dapat membantu menjana ekonomi negara," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Nurflix yang berlangsung di Masjid Tuanku Ampuan Jemaah, Shah Alam baru-baru ini.
Tambah Syah Mohamed lagi, pihaknya amat menitik-beratkan kualiti produksi serta nilai kreativiti dalam kandungan-kandungan yang dipaparkan di dalam platform Nurflix.TV.
"Disebabkan itu, kita memiliki panel penasihat kandungan dan kita juga turut memastikan setiap kandungan yang ditawarkan di dalam platform ini memaparkan idea atau subjek yang cukup unik," katanya lagi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Nurflix, Datuk Seri Syed Zainal Abdidin Syed Mohd Tahir dan Penyelia Kehormat (Musyrif) Nurflix, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.
Susulan penubuhan Nurflix, beberapa orang selebriti popular turut sama berkolaborasi seperti Mira Filzah, Erra Fazira, Eman Manan, Mawi, Altimet, Yasin Sulaiman, Diana Amir, Ernie Zakri, Wany Hasrita, Irma Hasmie, Fara Fauzana dan Lufya Omar.
Memiliki sasaran untuk meraih 1 juta tontonan (subscribers) sehingga akhir Januari 2021, pihak Nurflix turut mengalu-alukan kehadiran penerbit, pengarah, penulis skrip dan bakat-bakat baharu, bersesuaian dengan tagline mereka, ‘Be Part of Us’.
Nurflix bakal memulakan tayangannya bermula Oktober dengan harga pakej langganan yang akan diumumkan kelak.