Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Nurul Izzah Alami Keguguran, Terima Takdir Dengan Reda - “Saya Terfikir Tentang Semua Wanita Yang Melalui...”

Asyikin Mayudin 24/01/2023 | 22:55 MYT

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkongsi berita duka mengenai dirinya yang telah mengalami keguguran menerusi laman Instagram miliknya.

Izzah yang juga anak sulung Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut memuat naik gambar mereka bertiga berpelukan.

Menerusi perkongsian itu, Izzah memberitahu pelukan tersebut mungkin merupakan kali pertama selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Sejak 19 November 2022, mungkin inilah kali pertama kami berpelukan. Terlalu banyak yang telah kami lalui bersama... selesai berkempen, sempat pula dijangkiti Covid-19 buat kali kedua, mendapat berita kami mengandung anak keempat.

"Kemudian, sedang sibuk menguruskan tugasan baru, ke sana ke mari, kembali ke Pulau Pinang, kemudian ke Putrajaya. Dikejutkan pula dengan berita pemergian bayi yang dikandung. The little boot is gone," kongsinya.

Meskipun berasa sedih namun beliau tetap menerima takdir itu dengan reda dan memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH SWT.

“Saya terfikir tentang semua wanita yang melalui episod serta pengalaman yang sama, walau jalur individunya berbeza.

“Ungkapan mensyukuri nikmat-kata-kata indah untuk Yang Maha Esa - yang kita ucapkan walau mengalir air mata kerana kita hanyalah insan kerdil. Insan yang lemah dengan perasaan, hati, memori dan pengalaman,” katanya.

Pada perkongsian yang sama, Izzah juga mendoakan mana-mana individu yang mengalami nasib yang sama dengannya agar kekal tabah dan kuat.

“Jadi kepada anda, hampir semua daripada kita mengalami kehilangan rasa, kita boleh menawarkan doa, pelukan maya dan ingatan bahawa kehidupan ini diteruskan," kongsinya.

Rata-rata pengikut dan ahli politik turut menitipkan ucapan takziah selain kata-kata semangat atas kehilangan tersebut.

Untuk rekod, Izzah mendirikan rumah tangga kali kedua dengan seorang pengkaji daripada Khazanah Research Institute, Yin Shao Loong, pada 5 Ogos tahun lalu.

Izzah mempunyai sepasang cahaya mata iaitu Raja Nur Safiyah, 15, dan Raja Ahmad Harith, 13, hasil perkahwinan pertamanya, sementara Shao Loong pula mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.

#Nurul Izzah #Wan Azizah #Anwar #Izzah #Izzah Anwar #Izzah keguguran
;