Berita
Op Favish: Ada Transaksi Meragukan, SPRM Mahu Lihat Jika Ada Unsur Penipuan - Azam Baki
Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesan beberapa transaksi mencurigakan sewaktu menyemak dokumen-dokumen yang diperolehi, susulan siasatan terhadap syarikat FashionValet dan 30 Maple Sdn.Bhd.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Mohd Azam Baki berkata, Bahagian Perakaunan Forensik ketika ini sedang menyemak kira-kira 50 hingga 60 kotak dokumen berkaitan syarikat tersebut dan laporan akan diserahkan pula kepada Bahagian Siasatan.
“Jadi pada petang ini siasatan setakat ini merumuskan terdapat transaksi akaun yang dikira meragukan daripada syarikat Maple 30 dan beberapa phak lain daripada mereka yang disiasat ini, dan kita juga berjaya kesan beberapa transaksi kewangan yang mencurigakan.
“Ini bermula dari 2018 hingga 2023. Semakan lanjut bahagian siasatan forensics accounting masih diteruskan terhadap dokumen. Kita lihat kepada aliran punca kewangan, kemana wang itu dibelanjakan bagi melihat adakah terdapat unsur jenayah rasuah atau kesalahan lain dengan penipuan atau fraud,” katanya lagi.
Mohd Azam berkata, SPRM juga percaya sebahagian dana pelaburan disalahgunakan dalam hal tersebut, namun siasatan masih dijalankan.
Beliau turut berkata, kedua-dua individu tersebut juga perlu menerangkan tentang barangan mewah yang dipaparkan di laman media sosial mereka sebelum ini, bagi melihat hubungkait nilai barangan tersebut dengan dana pelaburan yang diperolehi.
Terdahulu, Vivy ilihat meninggalkan bangunan SPRM sekitar jam 4.05 petang.
Namun, suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tidak menaiki kenderaan tersebut, dipercayai masih berada di dalam bangunan.
Tinjauan media mendapati, turut menaiki kenderaan bersama Vivy ialah peguamnya dan seorang pegawai SPRM.
Selain itu terdapat dua lagi kenderaan dipercayai membawa beberapa lagi pegawai SPRM turut mengiringi kenderaan Vivy.
Sumber SPRM memaklumkan Vivy telah kembali ke bangunan SPRM untuk menyambung sesi keterangan pada jam 8.15 malam, sebelum dijangka selesai sekitar jam 10 malam.
Terdahulu, pasangan suami isteri tersebut tiba di Ibu Pejabat SPRM bagi menyambung sesi keterangan berhubung kerugian pelaburan Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd berjumlah RM43.9 juta.
Mereka tiba di perkarangan ibu pejabat SPRM sekitar jam 2.30 petang menaiki sebuah kenderaan SUV berwarna hitam.
Untuk rekod, hari ini merupakan hari ketiga pasangan tersebut dipanggil pihak SPRM bagi membantu siasatan, yang dilakukan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri tersebut akan hadir pada pukul 10 pagi hari ini, namun telah ditunda ke jam 2 petang.
Pada 6 November, SPRM telah membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Pembekuan itu adalah susulan daripada siasatan dijalankan SPRM terhadap suami isteri tersebut berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Menurut sumber, sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi 'Op Favish' telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri berkenaan bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.
Selain itu beberapa tas beg tangan dan seutas jam tangan mewah bernilai kira-kira RM200,000 turut disita dari premis pasangan tersebut.
Sumber: Astro AWANI