Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Operasi Stesen LRT Dilanjutkan Sempena Final Piala FA- Rapid Rail

Gempak 22/08/2024 | 06:13 MYT

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi Stesen LRT Bukit Jalil pada malam Sabtu ini sehingga jam 1 pagi, pada Ahad.

Lanjutan waktu operasi itu susulan perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. "Untuk memastikan kelancaran pergerakan penumpang, tren tambahan akan disediakan sejurus tamat perlawanan bagi keselesaan penumpang untuk pulang ke destinasi masing-masing.

"Stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, bagaimanapun para penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

"Semua stesen-stesen pertukaran rel turut dilanjutkan waktu operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Rapid Rail menyarankan penumpang untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen.

Manakala bagi pengguna token pula digalakkan untuk membeli token pergi dan balik sebelum keluar dari stesen.
"Rapid Rail juga menyarankan penumpang untuk menggunakan fasiliti parkir Park N’ Ride yang terdapat di stesen-stesen LRT dan MRT terpilih.

"Sejumlah 18,680 ruang parkir kereta tersedia bagi penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan tren untuk ke stadium," ujarnya.

Selain itu, Rapid Rail menambah, penumpang boleh merancang perjalanan dengan media sosial Rapid KL serta aplikasi PULSE bagi mendapatkan informasi terkini mengenai status perkhidmatan.

Sumber: Astro AWANI

#Malaysia #Bola Sepak #Piala FA #Rapid KL
;