Berita
"Orang Beli Handbag Saya Untuk Saya Beli Handbag Gucci? Sedap Mulut Kata Macam Tu!" - Che Ta
Aktres jelita, Rozita Che Wan atau Che Ta menafikan dakwaan netizen yang tidak bertanggungjawab mengatakan keuntungan dari perniagaan jenama beg tangan miliknya digunakan untuk membeli koleksi jenama mewah antarabangsa.
Perkara itu dikongsi menerusi sebuah entri di akaun Instagramnya buat tatapan umum.
Menurut Che Ta, dia sudah mempunyai pelbagai koleksi beg tangan sejak dahulu lagi sebelum mengeluarkan jenama sendiri.
"Ada lah saya terbaca, mulut-mulut dari makcik bawang dan pakcik halia yang cakap saya keluarkan handbag sendiri untuk dapatkan untung, dan beli handbag mahal lain.
"Amboi sedap mulut kata macam tu ya.
"Saya daripada belum berniaga lagi dah ada macam-macam handbag, dari yang murah sampai yang mahal, penuh satu bilik dengan handbag.
"Kualiti jahitan, jenis kulit, saiz, design dan berat berbeza saya ada, itu yang buatkan saya banyak pengalaman dengan handbag," tulisnya di ruangan kapsyen.
Dalam pada itu, Che Ta turut mengatakan koleksi beg tangan jenamanya itu memberi peluang kepada orang ramai untuk bergaya dengan reka bentuk setaraf jenama antarabangsa namun dalam harga mampu milik.
Che Ta mulai aktif di industri hiburan tempatan pada tahun 2005 dan berjaya mengekalkan popularitnya sehingga kini menerusi bidang lakonan, perniagaan serta penampilan bergaya di media sosial.