Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Orang Kata Bila Usia 40 Lebih Risiko Agak Tinggi” - Terlalu Sibuk, Hazama & Isteri Terpaksa Tangguh Rawatan IVF

Mya Amri 14/09/2022 | 01:15 MYT
Penyanyi, Hazama mendedahkan isterinya, Genervie Kam terpaksa menangguhkan seketika hasrat untuk mendapatkan rawatan kesuburan In Vitro Fertilization (IVF) kerana sibuk dengan komitmen kerja.

Menurut Hazama, mereka berdua sedang mencari tarikh yang sesuai dan perancangannya adalah pada tahun hadapan.

“Keadaan belum mengizinkan, tengah tunggu waktu yang sesuai sebab kami berdua buat masa ini masing-masing sibuk dengan kerja.

“Saya dengan kerjaya seni manakala isteri pula sibuk menguruskan perniagaan Asam Laksa. Rezeki selepas pandemik. Alhamdulillah.

“Saya rancang tahun depan, tahun ini kita selesaikan mana-mana bahagian yang perlu terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui Gempak.

Hazama berkata demikian selepas majlis perlantikan Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlangsung di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah Hazama lagi dia tidak terasa hati apabila orang bertanyakan soal anak kerana bukan tugasnya untuk menjawab.

Sebaliknya dia hanya berserah kepada Allah selain berikhtiar.

“Isteri saya okay, tahun depan umurnya 43 tahun. Saya risau juga sebab ialah kita pun dengar orang kata bila usia sudah 40 lebih ini risikonya agak tinggi.

“Jadi saya ada sedikit kerisauan di situ. Tapi doakan yang terbaik, kita dah cuba usaha, dah buat macam-macam.

“Sekiranya dikurniakan rezeki maka adalah, jika tiada, tiadalah. Tetapi saya reda dengan semua ketentuan yang Tuhan telah tetapkan.

“Wanita sentiasa ada emosi tetapi kita sebagai lelaki inilah yang kena mainkan peranan. Bagi saya setiap kekurangan itu mesti ada kelebihannya dan begitulah sebaliknya.

“Jadi kita seimbangkan benda itu, kena sentiasa bersyukur. Keluarga juga okay, tidak memberikan tekanan tentang perkara ini. Tekanan selalunya datang daripada orang-orang luar.

“Saya tak ada masalah sebab anak buah saya ada empat orang, kadang-kadang duduk dengan saya.

“Mereka itu sudah saya anggap seperti anak saya juga, jadi kita layan pun macam anak,” jelasnya.

Terdahulu, Hazama dan Genervie Kam yang sudah enam tahun berkahwin meluahkan hasrat untuk berikhtiar mendapatkan anak menerusi proses IVF.

#Anak #Hazama #IVF #Genervie #Kam
;