Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Orang Ramai Beratur Panjang Beri Penghormatan Terakhir Kepada Ananda Krishnan

Awani 04/12/2024 | 01:30 MYT
Orang ramai mula beratur panjang seawal pukul 2 petang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Pengerusi Usaha Tegas Sdn Bhd, Ananda Krishnan Tatparanandam di kediamannya di Jalan Berhala, Brickfields, Kuala Lumpur.

Penghormatan Terakhir

Suasana pilu dan sayu menyelubungi perkarangan kediaman mendiang dengan doa mengiringi setiap langkah mereka yang hadir.

Menurut Pengurus Pemasaran, Rajamogan Nadarajan, dia sanggup datang jauh dari Pulau Pinang semata-mata untuk menatap wajah mendiang buat kali terakhir
"Saya pernah mengendalikan beberapa bengkel untuk pelajar hasil sumbangan Ananda Krishnan melalui yayasannya. Yayasan, Ananda secara khusus membantu pelajar sekolah rendah yang memperoleh 7A dalam UPSR, dengan memberikan tajaan pendidikan sehingga SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).
"Selepas SPM, mereka juga diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, sama ada di dalam atau luar negara. Saya rasa ini merupakan antara sumbangan terbaik beliau dalam bidang pendidikan.
"Selain itu, kita sedia maklum akan pencapaian cemerlang Ananda Krishnan dalam bidang perniagaan dan pelaburan. Beliau telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, khususnya dalam dunia pelaburan dan keusahawanan. Bagi saya, ini adalah sumbangan luar biasa Ananda Krishnan kepada negara" katanya ketika ditemui di sini, pada Selasa.
Bagi seorang jurutera, P Suresh Kumar, jasa dan sumbangan mendiang kepada pembangunan negara terutamanya dalam memacu ekonomi negara membuatkan dia tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat wajah Ananda Krishnan buat kali terakhir.
"Saya berpeluang bertemu dengan Ananda Krishnan sebanyak tiga kali, dan setiap pertemuan memperlihatkan keperibadian beliau yang sangat rendah hati dan sederhana.
"Beliau benar-benar seorang yang sentiasa menampilkan kesederhanaan dalam setiap tutur kata dan tindakannya," ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada negara kerana jasanya begitu besar bukan sahaja dari segi ekonomi malah juga dari aspek kebajikan.
"Selain itu, secara peribadinya, Ananda Krishnan sememangnya seorang yang sangat fokus dan berprinsip. Dalam beberapa pertemuan saya dengan mendiang, beliau sentiasa memberikan pandangan yang tegas mengenai isu-isu yang beliau yakini akan membawa kebaikan bukan sahaja kepada syarikat, tetapi juga kepada Malaysia.
"Salah satu kualiti terbaik yang saya perhatikan ialah keprihatinan beliau terhadap keseimbangan antara keuntungan dan manfaat yang dapat dinikmati oleh semua pihak.
"Beliau sering mengingatkan agar tidak hanya menumpukan perhatian kepada keuntungan semata-mata, tetapi juga memastikan limpahan manfaat daripada setiap keputusan yang dibuat dirasai semua pemegang taruh.
"Fokus beliau untuk memastikan kesejahteraan semua pihak menjadikan proses kerja lebih lancar dan bermakna," jelasnya.
Orang awam diberi tempoh empat jam, bermula pada pukul 5 petang, untuk memasuki kediaman mendiang secara berperingkat.
Setiap tetamu turut melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat sebelum dibenarkan melangkah ke perkarangan rumah.
Sebelum itu beberapa orang kenamaan termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anak mereka, Datuk Seri Mukhriz hadir memberi penghornatan terakhir.
Mereka yang tiba pada pukul 12.25 tengah hari itu meluangkan masa kira-kira setengah jam.
Turut kelihatan adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda,
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak keluarga sebelum ini, orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir boleh berbuat demikian dari pukul 5 petang hingga 9 malam, Isnin.
Namun, pelawat dinasihatkan agar tidak membawa kalung malai, karangan bunga atau sebarang bunga.
Kediaman itu menyimpan nostalgia yang tidak ternilai buat keluarga Ananda Krishnan, kerana di sinilah tempat kelahiran dan kenangan silam beliau terukir.
Dilahirkan pada 1 April 1938 di Brickfields, ibu negara, Ananda Krishnan memperoleh ijazah dalam Sains Politik dari University of Melbourne dan kemudiannya menamatkan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Harvard Business School.
Terkenal dengan sikap rendah dirinya, mendiang membina empayar yang pelbagai merangkumi telekomunikasi, media dan tenaga melalui syarikatnya, Usaha Tegas.
Perjalanannya dalam perniagaan bermula dengan usaha dalam perdagangan minyak, yang akhirnya berkembang menjadi pelaburan dalam teknologi dan media.
Antara pegangan kepentingannya adalah termasuk dalam syarikat telekomunikasi Maxis, Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) dan Bumi Armada Bhd.
Mendiang juga melancarkan MEASAT, yang merupakan perintis kepada industri satelit di Malaysia.
Ananda Krishnan juga komited dalam membantu kebajikan kemasyarakatan dengan melalui Yayasan Ananda Krishnan, mendiang memberi sumbangan besar kepada pendidikan, seni, sukan dan inisiatif kemanusiaan.
Aktiviti amalnya telah memberikan biasiswa dan sokongan kepada individu yang tidak terkira banyaknya, mencerminkan dedikasinya untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Sumber: Awani

#Penghormatan #Tokoh #Beratur #Ananda Krishnan
;