Hiburan
"Orang Sekarang Nak Tengok Dengan Mata Bukan Dengar Dengan Telinga Je" - Hasnol
Penyanyi yang popular menerusi Laguku Untukmu, Hasnol akui setiap penyanyi perlu menjaga keterampilan diri terutama untuk kekal relevan dalam industri muzik tempatan.
Kata Hasnol, 50, peminat kini lebih cenderung untuk melihat penyanyi kegemaran mereka tidak selekeh dan punyai daya penarik selain kualiti karya yang dihasilkan.
"Keterampilan diri amat penting dalam industri muzik tanah air. Saya tidak bercakap industri negara lain tetapi di negara kita sendiri.
"Di situlah letaknya saham kita sebagai artis terutama penyanyi. Kalau saham jatuh daripada segi rupa, pakaian atau keterampilan itu akan menjadi 'negative point'.
"Kena jaga! Orang tengok dengan mata bukan sekadar dengar dengan telinga saja. Jadi, keterampilan itu penting," katanya kepada Gempak.
Hasnol ditemui pada majlis sidang media pelancaran agensi pencarian bakar ParisZki di Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini menegaskan penampilan menjadi sebahagian daripada sunnah.
"Allah pun suruh kita menjaga penampilan. Cuma biarlah bersederhana, jangan over!
"Jadi, jaga pemakanan dan selalulah beriadah. Kita ikut apa orang muda buat.
"Tapi kalau kepala sudah botak tak boleh nak buat apalah, itu faktor usia," katanya.
Hasnol terbabit sebagai jurulatih lakonan untuk agensi ParisZki dan bakal memulakan tugasnya secara rasmi bermula Ogos ini.