Laman Utama
Owner Gerai Dedah Hidangan Yang Ekin Pesan, Bukan Setakat 2 Ekor Ikan Tapi…
Susulan perkongsian rasa tidak puas hati isteri Mawi, Ekin Rahmat terhadap sebuah gerai menjual makanan laut yang dikunjungi bersama keluarga baru-baru ini, pemilik gerai berkenaan tampil memberi kenyataan.
Memperkenalkan dirinya sebagai pemilik Dol Mat Seafood, wanita tersebut memperincikan menu yang telah dipesan oleh Ekin untuk 20 orang makan, termasuk pecahan harga bagi setiap lauk yang dipesan selain dua ekor ikan.
“Assalammualaikum, Mak Cik owner gerai No. 14 Dol Mat Seafood. Tujuan video ini dibuat untuk memberi pencerahan berkaitan video yang dimuat naik di media sosial oleh selebriti tanah air yang tidak berpuas hati dengan harga makanan yang tidak memuaskan.
“Pada 30 September, waktu petang mereka datang ke kedai Mak Cik dalam 20 orang termasuk kanak-kanak. Di sini Mak Cik ingin senaraikan makanan yang di makan,” katanya.
Nasi putih 4 hidang, 1 hidang untuk 5 orang makan (RM10) x 4 = RM40
Baby Kailan 3 hidang, 1 hidang untuk 3 orang makan (RM18) x 3 = RM54
Pari Bakar 3 hidang, 1.8 kilogram, RM9 setiap 100 gram = RM162
Siakap Tiga Rasa 2 ekor, 1 ekor RM48 x 2 = RM96
Siakap Stim bernilai RM48
Wanita itu turut membidas kenyataan Ekin yang hanya memesan dua ekor ikan sahaja.
“Dalam video awak cakap ikan makan dua ekor sahaja, sebenarnya total makan 6 hidang,” ujarnya.
Berikut merupakan sambungan menu yang dipesan oleh Ekin:
Udang Butter 3 hidang, 1.6 kilogram, setiap 100 gram bernilai RM14 = RM224
Sotong Tepung 3 hidang, 1.6 kilogram, setiap 100 gram bernilai RM9 = RM144
Ketam Cili 1 hidang ada dua ekor, berat 1.5 kilogram, setiap 100 gram bernilai RM9 = RM135
Ketam Telur Masin 1 hidang dua ekor, berat 1.5 kilogram, setiap 100 gram bernilai RM9 setiap = RM135
Telur dadar 5 hidang, 1 hidang 3 biji RM6 = RM30
Siput Gonggong satu pek RM30
Minuman dan otak-otak = RM162
Perincian harga membawa jumlah yang dibayar Ekin iaitu RM1,260.
Sebelum mengakhiri videonya, wanita tersebut berkata: “Ini adalah details harga makanan yang dimakan pada hari itu. Kalau belum jelas boleh datang jumpa Mak Cik,” tutupnya.
Sumber: Platform X