“Pada Saya, Mereka Hanya Band Tribute Saja” - XPDC Militia
Tindakan sebuah kumpulan yang didakwa beraksi dengan menggunakan nama XPDC menimbulkan kemarahan kepada ahli kumpulan XPDC Militia.
Mewakili XPDC Militia, pemain dram Lola meminta kumpulan tersebut meminta kebenaran daripada syarikat rakaman, Life Records terlebih dahulu atau lebih baik hanya menggunakan nama ‘band tribute’ sahaja.
“Apa-apa pun, minta la izin dengan Life Records. Pada saya, tak perlu la pakai nama XPDC… guna saja nama band tribute,” kata Lola kepada Gempak.
Lola berkongsi perkara itu ketika sidang media LOOP Music Festival yang diadakan di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, Lola turut berharap pihak tersebut berhenti mencipta kontroversi murahan yang melibatkan nama kumpulan XPDC.
“Kalau boleh, makhluk itu minta-minta hentikan la benda ini. Tak payah nak cipta kontroversi, ia satu publisiti murahan,” katanya lagi.
Pada Oktober 2017, Pengurus Besar Life Records Malaysia, Singapura dan Indonesia, Osman Ariffin dilapor membenarkan XPDC Kita Peng Yu dan XPDC Militia menggunakan nama XPDC dan terbabit dengan mana-mana persembahan dengan diurus penganjur, bukan anggota XPDC.
XPDC Kita Peng Yu membariskan anggota asal Zuar (bes) dan Amy (dram) manakala anggota baharu adalah Jeff (gitar) dan Ary menggantikan tempat Mael sebagai vokalis.
XPDC Militia menampilkan anggota asal, Izo (gitar) dan Ali yang pernah bersama mereka menerusi album Samurai pada 1998 sebagai vokalis. Anggota baharu adalah Eddie (bes) dan Lola (dram).