Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Padah Pakej Sedut Lemak Tak Bertauliah Berharga RM2,500, Seorang Bakal Pengantin Maut!

Azwa Rahman 20/10/2020 | 03:01 MYT
Seorang model kelahiran Malaysia maut selepas mendapatkan rawatan sedut lemak di sebuah salon kecantikan bertempat di Sunway Velocity Mall, Cheras, Kuala Lumpur.
Memetik laporan Harian Metro, mangsa, Coco Siew Zhi Shing, 23, melakukan prosedur sedut lemak yang berharga RM2,500 itu sebagai persediaan untuk melangsungkan perkahwinan dengan teman lelakinya yang juga warga Afrika Selatan pada tahun hadapan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly berkata, mangsa dikatakan berkunjung ke pusat kecantikan itu jam 2.30 petang semalam.
"Siasatan awal mendapati pusat kecantikan itu berdaftar secara sah, namun tidak mempunyai kepakaran untuk melakukan proses sedut lemak.
"Namun, pusat kecantikan yang dimiliki seorang wanita dan anak perempuannya itu tetap meneruskan prosedur sedut lemak berkenaan selepas dikatakan menerima desakan daripada mangsa," katanya kepada Harian Metro pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
Tambah Saiful Azly, ketika mangsa menerima suntikan pada tangannya, dia mengalami masalah kesukaran bernafas selain muka dan badannya menjadi pucat sebelum pengsan.
"Pihak pusat kecantikan itu kemudian menghubungi ambulans dan mangsa dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang.
"Susulan itu, kami menahan dua beranak berkenaan yang masing-masing berusia 49 dan 23 tahun bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian wanita berkenaan.
Difahamkan salon kecantikan berkenaan tidak mempunyai lesen klinik estetik yang sah dan hanya mempunyai lesen sebagai salon kecantikan biasa.
Malah, doktor estetik yang melakukan operasi pada Coco tidak mempunyai lesen perubatan estetik profesional.
"Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat," katanya.
Sumber: Harian Metro
#Malaysia #Klinik kecantikan #Sedut lemak
;