Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Padam Foto Selepas Terima Vaksin Pertama, Ini Penjelasan Acong! – “Ada Yang Komen Cucuk Vaksin Mengakibatkan Kematian!”

Fiza Kamarudin 26/04/2021 | 03:50 MYT
Penyanyi dan pelawak Acong Sweetchild menafikan memadam foto selepas menerima suntikan vaksin pertama di laman sosial Instagram baru-baru ini kerana menerima terlalu banyak komen negatif.
Acong berkata, dia berasa kesal dengan segelintir individu yang menghantar mesej-mesej menakutkan kepadanya selepas dia menerima vaksin.
Antaranya, mereka menghantar berita mengenai kononnya terdapat beberapa penerima vaksin maut selepas menerima suntikan kedua.
“Saya padam kerana saya tidak suka membaca komen-komen negatif. Lagi tak best apabila mereka berkongsi info tidak tepat.
“Ada juga kawan-kawan yang hantar mesej menerusi Whatsapp, forward berita-berita kononnya sipolan-sipolan meninggal dunia selepas menerima vaksin kedua.
“Apabila dapat mesej sebegitu, saya tanya semula pada mereka ‘korang ni memang nak aku mati ke? Apasal hantar mesej-mesej macam ni kat aku?’.
“Mereka sepatutnya memberi kata-kata semangat dan positif kepada saya…Bukan ditakutkan dengan mesej-mesej sebegitu.
“Sampaikan saya pernah terfikir pasal mati lepas terima vaksin, tetapi saya beritahu pada isteri, kalau nak mati bila-bila boleh mati,” jelasnya.
Acong berkata demikian ketika ditemui semasa majlis sidang media Starvendors yang berlangsung di World Trade Centre (WTC) pada Sabtu lalu.
Tambah Acong, perkongsian berita negatif seumpama itu sedikit-sebanyak memberi kesan kepada penerima vaksin seperti dirinya.
“Ini lagi satu sebab saya padam gambar. Saya jadi de-motivated bila baca komen-komen mendakwa vaksin boleh bawa maut.
“Janganlan buat cerita bukan-bukan. Setakat ini saya sihat-sihat sahaja. Tidak ada apa-apa perubahan pelik pun berlaku ke atas diri saya.
“Malah saya berasa lebih yakin dan selamat untuk ke mana-mana sebab diri kita dah ada ‘shield’. Tapi, nasihat saya kepada yang di luar sana yang sudah mengambil vaksin SOP tetap kena jaga ya.
“Apa pun kita kena reda, apa yang saya harapkan selepas terima suntikan vaksin yang kedua akan jadi lebih baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Acong juga menganggap ia adalah antara rezeki buat dirinya dan isteri apabila menjadi penerima awal vaksin.
Jelasnya, sama seperti orang lain dia dan isteri turut mendaftar untuk menjadi penerima dan tidak sangka mereka telah dihubungi.
“Ada yang komen kata saya ni warga emas sebab dapat awal dan saya padam komen itu. Namun, saya anggap ia lebih kepada rezeki,” ujarnya.
#Acong Sweetchild #COVID-19 #Suntikan vaksin
;