Berita
“Pakai Mask Muka Sepanjang Dalam ‘Labour Room’”- Bersalin Ketika PKP Tanpa Suami, Mon Ryanti Kongsi Pengalaman Melahirkan Anak Ketiga
Pelakon Mon Ryanti akui pengalaman bersalin anak ketiga ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sangat mencabar dan menduga kesabarannya.
Menurut Mon hospital menetapkan banyak peraturan ketika melahirkan bayi lelakinya kerana ia masih dalam tempoh PKP sewaktu bersalin 7 Mei lalu.
Antara peraturannya adalah terpaksa melalui ujian COVID-19 serta dia terpaksa mengharungi waktu getir itu tanpa suami disisi.
“Pada 7 Mei lalu saya sudah mula rasa kontraksi pada jam 6 petang lebih. Namun sempat berbuka kerana tidak mahu ganti puasa yang banyak kelak.
“Ketiga-tiga anak tiada tanda darah atau apa untuk bersalin, cuma sakit pinggang. Jadi selepas berbuka terus ke hospital.
“Tiba di hospital pada jam 8 malam, jururawat di kecemasan meminta untuk buat pemeriksaan COVID-19 sebelum masuk. Agak pelik ya, kita ni dah sakit nak terberanak suruh buat test itu pula.
“Jika keputusan positif tidak dibenarkan untuk ditahan dalam ward. Masalahnya keputusannya dalam 72 jam lagi.
Masa tu daripada sakit terus hilang kejap rasa kontraksi.
“Berair air mata sehingga nak termuntah sebab memang panjang yang alat yang dimasukan dalam hidung dan mulut tu,” tulisnya.
Mon berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Pelakon Jangan Pandang Belakang Congkak itu terpaksa melahirkan anak ketiganya di Johor selepas terkandas di kampung halamannya sebelum PKP Mac lalu.
Menerusi entri Mon yang seterusnya, pelakon itu bercerita mengenai pengalamannya yang bersalin tanpa suami disisi serta terpaksa mengikut peraturan lain termasuk memakai topeng muka sepanjang berada di dalam dewan bersalin.
“Dalam jam 9 malam masuk ke dewan bersalin dan setelah diperiksa bukaan sudah 8 sentimeter (sm). Tak terasa mungkin kerana panik selepas buat pemeriksaan COVID-19 itu.
“Sepanjang berada dalam dewan bersalin, ada dua jururawat yang menemani saya.
“Paling sedih, suami tidak dibenarkan masuk dan hanya berada di depan pintu dewan bersalin sahaja. Gas yang saya panggil macam dadah (tak pasti apa namanya) itu untuk tahan sakit juga tak dibenarkan ambil.
“Sepanjang PKP ini memang banyak peraturan yang ditetapkan. Antaranya memakai topeng muka sepanjang berada di dalam dewan bersalin. Ia memang sangat menduga diri apabila melakukan semuanya sendiri. Jadi saya panik.
“Tapi sokongan suami melalui aplikasi Whatssapp serta sokongan 2 jururawat yang tak henti beri kata-kata semangat dan dengan pertolongan doktor saya dapat harungi semua itu.
“Alhamdulilah tepat 11.29 malam saya selamat lahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.3 kilogram secara normal.
“Ia proses bersalin yang sangat cepat dan mudah. Anak saya selamat dan sihat,” katanya lagi.
Terdahulu, Mon Ryanti mendirikan rumah tangga bersama suaminya,Mohd Hasrul pada September 2014. Sebelum ini keduanya sudah pun dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.