Laman Utama

Papar Isu Penunggang Agama Di Scammer 2, Shahrulezad: “Ramai Asatizah Berzina, Hisap Dadah”

Maliah Surip
20/04/2022
06:50 MYT
Sponsor Banner
Papar Isu Penunggang Agama Di Scammer 2, Shahrulezad: “Ramai Asatizah Berzina, Hisap Dadah”
Baru memulakan tayangan sebanyak dua episod, drama rantaian Scammer 2 pantas menarik minat dan menjadi buah mulut penonton.
Hal itu lantaran konflik yang dikupas dalam Scammer 2 lebih bersifat kemelayuan dengan mengangkat isu penunggang agama atau manusia yang berselindung di sebalik sikap baik yang dipamerkan kepada masyarakat.
Malah, salah satu watak utama yang ditonjolkan dalam drama yang sedang hangat ditayangkan di Astro RIA, disifatkan seperti memerli sikap para asatizah (campuran ustaz dan ustazah).
Watak tersebut diberi nama Rudi yang dimainkan dengan berkesan oleh aktor Zahiril Adzim. Rudi disifatkan sebagai seorang lelaki bersifat mulia yang banyak menolong masyarakat termasuk menjaga anak yatim, namun realitinya seorang munafik.
Saat ditanya adakah watak Rudi sengaja ditujukan khusus kepada seseorang, Penerbit Scammer 2, Shahrulezad Mohameddin mengaku isu yang dikupas sekaligus ditonjolkan adalah satu teguran yang dibuat untuk segelintir penunggang agama dan asatizah.
“Konflik sebenar yang ingin ditonjolkan dalam Scammer 2 ini lebih kemelayuan dan menyentuh kegiatan segelintir penunggang agama yang menggunakan agama sebagai insurans berbuat kebaikan.
“Misalnya ada yang menggunakan agama untuk menipu pakej umrah atau menggunakan anak yatim menyembunyikan kegiatan jahat mereka. Jadi inilah fokus kami untuk Scammer 2,” ujar Ijat sewaktu dihubungi Gempak.
Ijat kemudian mengulas tentang karakter Rudi. Tegas Ijat, pihak produksi tidak mengkhususkan watak tersebut kepada individu, sebaliknya Rudi digunakan untuk menegur sikap tidak elok segelintir asatizah yang ada dalam kalangan mereka tidak layak diiktiraf sedemikian rupa.
“Asatizah yang ada di Malaysia bukan maksum. Logik akal semua manusia akan buat silap. Macam mana nak tegur kalau tak boleh ceritakan keburukan orang?
“Dan Scammer 2 tidak bercakap mengenai semuaa, tetapi segelintir asatizah yang sebenarnya ada yang tidak layak digelar sedemikian.
“Ramai asatizah di Malaysia yang terima rasuah, berzina, hisap dadah, tapi kalau tak boleh ditegur, kita ada masalah serius di sini,” kata Ijat.
Scammer 2 yang diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd, diarahkan oleh Norhanisham Muhammad atau Labu.
Drama 24 episod yang ditayangkan Isnin hingga Khamis pukul 11 malam di Astro RIA ini turut dibintangi Beto Kusyairy, Farah Nabilah termasuk Azwan Ali.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar