Laman Utama

“Paras Oksigen Pernah Turun Sampai 55 Peratus Hanya Kerana…” – Fazli Zainal Fikir Tiada Harapan Untuk Hidup

Fiza Kamarudin
31/08/2021
03:58 MYT
Sponsor Banner
“Paras Oksigen Pernah Turun Sampai 55 Peratus Hanya Kerana…” – Fazli Zainal Fikir Tiada Harapan Untuk Hidup
Selepas dua hari dibenarkan keluar dari hospital akibat jangkitan Covid-19, penyanyi Fazli Zainal mendedahkan pengalaman berada di wad.
Fazli pada sesi sidang media pelancaran single terbaru berjudul Mantan Yang Terluka secara virtual petang semalam (Isnin), sempat menceritakan detik cemas ketika berada di hospital.
Katanya, sepanjang 29 hari dirawat di hospital dia tidak mandi kerana pernah, paras oksigennya turun mendadak ketika berada di dalam tandas.
“Bukan tidak mahu, tetapi tidak boleh. Pernah sekali saya minta kebenaran jururawat untuk mandi dan ketika berada di dalam tandas oksigen saya turun mendadak sehingga 55 peratus.
“Mujur saya dipantau jururawat dan doktor setiap masa. Bayangkanlah kalau saya teruskan mandi dalam 15 minit lagi, mungkin saya dah tak ada di dunia ini.
“Tapi Alhamdulillah, saya masih boleh bersolat. Ketika di wad saya berwuduk guna spray dan solat dalam keadaan baring. Sekarang, saya nak pesan jangan abaikan solat. Tak kisahlah walau lambat pun, bersolatlah," katanya.
Selain itu Fazli yang disahkan positif Covid-19 pada 31 Julai lalu berkata, sepanjang berada di wad dia hanya memikirkan tentang mati.
"Saya hanya fikir yang mungkin saya dah tak ada harapan untuk hidup. Saya fikirkan tentang seksaan kubur dan saya sangat takut.
"Saya fikir perlu maafkan semua orang dan mohon mereka juga sudah maafkan saya kalau sekiranya ada salah dan silap,” katanya.
Dalam pada itu Fazli turut berkongsi pengalaman menginsafkan yang dilalui di hospital, antaranya melihat kematian pesakit di katil bersebelahan.
"Bayangkan, sekitar 6.00 pagi saya tengok pesakit di sebelah saya masih hidup. Tiba-tiba dalam pukul 9.15 pagi tu ramai jururawat di katil dia dan dia dah tak ada.
"Bila-bila masa saja nyawa kita boleh pergi sekarang. Saya rasa terpanggil untuk sebarkan apa saja kebaikan serta terus berdoa Covid-19 ini cepat berakhir," katanya.
Fazli yang dirawat di Hospital Ampang selama 29 hari dan dibenarkan keluar Sabtu lalu, mengalami kerosakan paru-paru sebanyak 75 peratus dan memerlukan masa selama tiga hingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya.
Tambah Fazli, dia kini semakin pulih dan positif apatah lagi selepas doktor memberitahu ramai pesakit sembuh cuma memerlukan masa.
“Doktor kata Covid-19 ini perlukan masa antara tiga hingga enam bulan untuk sembuh. Beliau menasihati saya supaya ambil makanan tambahan, senaman dan berjalan untuk pengaliran darah dalam badan.
"Saya juga buat latihan pernafasan. Saya kena tiub bola dan buat vokal skil khas melalui cara senaman. Ia macam orang berpantang bersalin," katanya.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024