Pasangan Tular Nikah Petang Ini, Keluarga Taja Baju Pengantin & Solekan - "Saya Rasa Nervous, Gembira & Sedih"
Sepasang kekasih yang tular Mohd Azlan Ishak dan Nor Hidayu Halim bakal diijabkabulkan sebagai suami isteri pada petang Selasa.
Nikah petang ini
Menurut Hidayu, 34, berkata majlis akad nikahnya bersama suami akan diadakan di Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Alor Setar, Kedah.
“Akad nikah akan dijalankan 5.30 petang di Masjid Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Alor Setar, Kedah.
“Baju nikah dan solekan saya pada petang ini adik-adik keluarga yang sponsor, semalam baru beli baju, beli di kedai butik biasa sahaja warna putih.
“Hantaran tiada cuma ada mas kahwin sahaja RM1,000.
“Harga kos untuk baju itu kami tak nak kongsikan sebab tak nak orang cakap saya salah guna duit anak. Sebab duit kutipan derma anak pun saya tak guna lagi,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Sementara itu, berkongsi mengenai perasaan sebelum disatukan Hidayu berkata dia merasakan perasaan yang bercampur-baur kerana majlis ini agak mengejutkan baginya.
“Memang saya rasa nervous, gembira dan sedih pun ada.
“Sedih sebab terima tomahan dan kecaman orang.
“Semoga urusan kami dipermudahkan untuk petang ini, saya rasa sangat gembira sebab dapat selesaikan masalah ini dan dapat buktikan kami boleh menikah petang ini.
“Kami akan jaga anak yang sakit ini sebaik yang mungkin,” tambahnya lagi.
Bagaimanapun, Hidayu turut memberitahu majlis pada petang ini hanyalah sekadar akad nikah dan tiada lagi perancangan untuk majlis makan-makan bersama keluarga.
“Harini mungkin tiada, sebab mengejut kan jadi tiada perancangan lagi,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Azlan dan Hidayu tular selepas gambar mereka membawa bayi lelaki berusia 11 bulan yang memakai alat bantuan pernafasan menaiki motosikal meraih perhatian ramai.
Selepas kisah tular itu, timbul pula cerita kurang enak apabila Azlan dan Hidayu diarahkan berpisah kerana duduk sebumbung tanpa hubungan perkahwinan.