Laman Utama
Patutlah Power, Ernie Zakrie Berguru Dengan Malique Untuk OST Polis Evo 3, Ayuh
Filem Polis Evo 3 yang dijadual tayang pada 25 Mei 2023 ini seperti kebiasaannya hadir bersama pakej lagu runut bunyi atau OST.
Jika Polis Evo menampilkan Evo yang cukup fenomena hasil duo rapper tersohor negara, Joe Flizzow dan SonaOne diikuti kejayaan Sang Saka Biru sekali lagi dari Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Alif dalam Polis Evo 2, kini giliran OST ketiganya pula menggamit perhatian.
Diberi judul Ayuh, OST ini juga dihasilkan oleh bukan calang-calang komposer bersama barisan penyanyi.
Ayuh didendangkan bersama the one and only Malique, Aman RA, Kmy Kmo dan buat pertama kali menampilkan penyanyi perempuan, Ernie Zakrie.
Menariknya, Ernie tidak hanya ‘memainkan’ posisi sebagai penyanyi tetapi ikut melantunkan bait rapping dalam Ayuh.
Dan penyanyi yang terkenal dengan hit dari genre pop serta balada itu berjaya menyanyi secara rapping dengan sangat bagus.
Ernie sewaktu ditemui pada sidang media pelancaran filem Polis Evo 3 di Six In The City, Petaling Jaya, Selangor mengatakan keberhasilan dirinya menyampaikan cara rapping dengan baik adalah hasil berguru dengan Malique.
Tambahnya, dia mungkin dikenali sebagai penyanyi balada, namun dirinya sendiri ikut menyukai muzik hip hop.
“Pada mulanya saya hanya menyanyi tetapi selepas beberapa kali perbincangan bersama Malique dan yang lain, mereka meminta saya menyanyikan bait rapping dalam Ayuh.
“Jadi Malique adalah orang yang bertanggungjawab mengajar saya menyanyi rapping dengan ‘patah’ yang betul,” kata Ernie.
Menjadi pengalaman perdananya berkolaborasi dengan nama besar dalam lapangan muzik hip hop dan dunia rapping, Ernie juga mengatakan ia sebagai pengalaman mengujakan.
Apa lagi pada awal pembikinan lagu yang dihasilkan pada 2020 lalu ini sudah bertukar beberapa penyanyi.
“Saya ingat lagi sewaktu Ayuh ingin dihasilkan, saya masih belum bertudung dan akhirnya ia berjaya disiapkan seperti yang diinginkan, terutama Malique,” kata Ernie lagi.