Laman Utama
#PE3 : Dah Kutip RM16 Juta! Fauzi Nawawi Akui Berbaloi Terbabit Dengan Filem Mega Polis Evo 3
Luar biasa! Filem Polis Evo 3 mencetak sejarah hebat apabila mencatat kutipan tiket sebanyak RM16 juta selepas empat hari ditayangkan kepada umum di pawagam-pawagam di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.
Sebelum naskhah arahan perdana Syafiq Yusof ini ditayangkan, bukan hanya duo cops Zizan Razak dan Shaheizy Sam sahaja berdebar dengan pembikinan dan penerimaan terhadap Polis Evo 3 tetapi salah seorang aktor, Fauzi Nawawi mengaku cukup tertekan sebaik sah menjadi keluarga baharu tim tersebut.
Fauzi mengatakan menggalas cabaran besar apabila terpilih membawa watak ACP Farouk.
Menurut suami pelakon Lisdawati tersebut, tekanan yang dirasai bukan hanya kerana Polis Evo sudah menjadi francais yang mempunyai pengikut tersendiri sebaliknya kerana diberi kepercayaan membawa watak ketua atau ACP Farouk.
“Saya memang agak tertekan membawakan watak ACP Farouk kerana perlu berlakon sebagai ketua dalam tim Polis Evo.
“Tapi saya sangat teruja kerana berjaya mendapatkan watak ini. Untuk pengetahuan semua saya bukan dipanggil begitu sahaja, tapi menjalani uji bakat dan lulus membawa watak ini.
“Sebab itu walaupun stress saya rasa bertuah. Lagipun semangat saya kecil tapi payment besar!
“Penglibatan saya dalam tim ini sangat berbaloi,” katanya sambil berseloroh penuh semangat sewaktu ditemui dalam sidang media PE sebelum ini.
Polis Evo 3 menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.
Ia mengisahkan Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaharu dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.
Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.
Sebelum ini, industri filem tanah air menyaksikan edisi sulung filem Polis Evo pada tahun 2015 mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta, sementara Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah kutipan RM23 juta.