#PE3: Mantap Boh! Kutipan Tayangan Awal & Hari Pertama Polis Evo 3 Cecah RM3.4 Juta, Melebihi Fast X Dua Kali Ganda
Filem Polis Evo 3 yang mempamerkan aksi komedi tanpa henti terus cemerlang pada hari pembukaan tayangan rasminya semalam dengan kutipan keseluruhan RM3.4 juta, termasuk tayangan awal.
Polis Evo 3 berjaya mengetepikan filem antarabangsa, FAST X dengan kutipan melebihi dua kali ganda pada Khamis 25 Mei, sekali gus mendominasi carta kutipan pawagam.
Bukan itu sahaja, Polis Evo 3 terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures, turut tular di media sosial pada hari tayangan rasminya semalam dan rata-rata penonton berkongsi reaksi positif.
Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad bersyukur dengan sambutan yang luar biasa terhadap Polis Evo 3.
“Syukur alhamdulillah, sokongan penonton terhadap Polis Evo 3 amat luar biasa. Kami rasa amat berbesar hati apabila penonton memilih karya tempatan untuk dijadikan tontonan dan di kesempatan ini saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menyaksikan Polis Evo 3 di pawagam.
“Momentum positif ini membuktikan penonton kita masih meletakkan kepercayaan pada karya tempatan. Kami harap penonton akan berpuas hati serta terhibur selepas menyaksikan Polis Evo 3. Kejayaan filem tempatan mengatasi kutipan filem antarabangsa ini juga selaras dengan tagline Polis Evo 3 iaitu ‘Kita Lagi Kuat Boh’,” katanya.
Filem arahan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.
Polis Evo 3 mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza. Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.
Terdahulu Polis Evo (2015) mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah box office RM23juta.
Ikuti siri jelajah Polis Evo 3 bermula hari ini 26, 27, 28 Mei di Terengganu, Pahang; 2 Jun di Seremban; 3, 4, 5 Jun di Kedah, Penang, Perak; dan 8, 9, 10, 11 di Singapura, Johor, Melaka. Untuk butiran lanjut boleh rujuk di akaun media sosial Astro Shaw.
Saksikan filem aksi terhebat tahun ini, Polis Evo 3 yang kini berada di pawagam. Gunakan #PolisEvo #PolisEvo3 #PE3 bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Polis Evo 3 di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw.