Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Peguam Puteri Sarah Bantah Injuksi, Mahu Kebebasan Bersuara - "Kita Tak Boleh Aibkan, Fitnah Orang"

Syafiqah Jalal 08/06/2023 | 03:12 MYT
Peguam Puteri Sarah, 37, iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader, membantah injuksi yang diminta pengarah berkontroversi, Syamsul Yusof dan disebabkan itu mereka memasukkan afidavit jawapan pada sebutan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor, pagi tadi.
Kata Akberdin Abdul Kadir sepatutnya setiap orang ada hak kebebasan bersuara.
“Ini adalah kebebasan bersuara dan tak bolehlah kekang. Kebebasan bersuara di bawah perlembagaan persekutuan kan. Kita tak boleh aibkan, fitnah orang lain asalkan kita jaga perimeter itu, kita boleh bersuaralah,” katanya kepada Astro Gempak.
Pagi tadi, injuksi antara pengarah Syamsul Yusof, 39, isterinya pertamanya dilanjut serta akan diputuskan pada 14 Ogos nanti selepas sebutan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.
Mahkamah Tinggi Syariah antara lain memerintahkan Puteri Sarah dihalang, dilarang dan/atau ditegah bertindak mengeluarkan, memuat naik, menyiarkan, menulis, menerbitkan, menyebarkan, mengedarkan, menghebahkan, dan/atau menyalurkan apa-apa kenyataan, tulisan fitnah, maklumat, komen, gambar dan atau klip video di mana-mana laman media sosial, media cetak dan atau media elektronik.
Menurut peguam Puteri Sarah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader, injuksi terbabit juga sudah ditukar kepada inter-parte bagi mahkamah meneliti kedua pihak berbanding ex-parte sebelum ini.
“Kami juga sudah memaklumkan kepada pihak hakim supaya senang berbincang berkenaan isu-isu. Ada kemungkinan perkembangan terkini kalau semuanya berjalan lancar, mungkin akan rekodlah, insyallah.
“Sama ada injuksi itu dikekalkan atau diketepikan sehingga akhir. Mahkamah akan telitilah alasan-alasan kedua-dua pihak sebab injuksi yang diperoleh tempoh hari adalah daripada satu pihak.
“Jadi ia ditukar kepada inter-parte dan hakim akan dengar kedua-dua pihak. Hakim akan buat keputusan sama ada diperlukan atau sebaliknya,” katanya.
Akberdin memaklumkan pihaknya juga sedang berunding untuk kes-kes lain di samping kes hari ini. Katanya asas kepada injuksi itu adalah nusyuz dan tiada apa-apa kes baharu berbangkit.
Sementara itu, peguam Syamsul iaitu Azmi Mohd Rais memaklumkan sudah menerima afidavit jawapan daripada pihak Puteri Sarah.
“Yang arif mengarahkan untuk memasukkan hujah dan keputusan berkenaan dengan perintah injuksi ini adakan diputuskan pada 14 Ogos,” katanya.
Pada tarikh terbabit, kedua pihak perlu hadir.
Terdahulu, pada 28 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Jumaat membenarkan permohonan pengarah filem, Syamsul Yusof untuk mendapatkan perintah injunksi lanjutan terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah, sehingga hari ini.
Ia adalah perintah menghalang Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin daripada memuat naik, mengeluarkan, menulis, menerbit, menyebarkan, menghebahkan atau menyalurkan sebarang keterangan berhubung kes cerai dan nusyuz pasangan itu dalam apa jua bentuk atau medium.
Injuksi berkenaan adalah lanjutan kedua yang dimohon oleh Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof dibuat secara ex-parte atau sebelah pihak.
Pada 26 Mei lalu, permohonan pengarah kontroversi, Syamsul Yusof melanjutkan perintah injunksi terhadap isteri pertama, Puteri Sarah Liyana, diluluskan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.
Terdahulu, mahkamah meluluskan permohonan Syamsul melanjutkan tempoh masa perintah ex-parte bertarikh 27 April berdasarkan Seksyen 238 Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dengan pindaan kepada perintah ex-parte terbabit.
#Puteri Sarah #Mahkamah #Puteri Sarah Liyana #Fitnah #Injuksi
;