Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Peha Patah Masuk Besi, Gigi Saya Palsu Sebab Gusi Patah” – Demi Kerja Jadi Mat Dispatch, Nabil Baring Setahun Sebab…

Mya Amri 26/08/2020 | 13:45 MYT
Mungkin ramai tidak tahu nasib malang yang menimpa pelakon dan pelawak Nabil Ahmad sewaktu bekerja sebagai seorang Mat Dispatch suatu ketika dahulu.
Mengimbas kembali kenangan pahit, Nabil berkata kemalangan itu berlaku ketika dia berumur 19 tahun.
Kisah Nabil itu dikongsi secara eksklusif menerusi program Rumah No 107 yang bakal bersiaran pada Jumaat ini.
Kata Nabil disebabkan kemalangan itu juga dia terpaksa berpaut kepada sesuatu benda untuk kembali berdiri sekiranya duduk dalam jangka masa yang lama.
“Saya bermula dengan kerja di warung pada umur 15 tahun. Saya bersekolah tetapi pada masa itu saya tanggung diri saya sendiri. Yuran sekolah pun saya bayar.
“Kemudian dalam umur 16 ke 17 tahun saya bekerja di sebuah kedai nasi lemak. Selepas itu baru saya jadi dispatch.
“Pada umur 19 tahun saya baring selama setahun kerana mengalami kemalangan. Peha patah jadi saya sebenarnya cacat.
“Orang selalu pelik bila tengok saya masuk tandas OKU sebab mereka lihat saya di kaca televisyen nampak sempurna.
“Tapi sebenarnya orang tak tahu saya selepas membuang tak boleh bangun terus secara mendadak sehinggalah ke hari ini.
“Saya selepas duduk dalam tandas untuk waktu yang lama saya tak boleh terus bangun sebaliknya kena berpaut.
“Badan saya ada besi, bermula dari tulang pinggul saya sehingga bahagian tulang peha. Gigi depan saya juga palsu sebab gusi patah, itulah kemalangan yang berlaku sewaktu saya bekerja jadi mat dispatch,” kongsinya
Selain Nabil, Datuk Ac Mizal juga merupakan tetamu undangan untuk program tersebut.
Rumah No 107 dihoskan oleh Khir Rahman bersama Joey Daud, Man Raja Lawak, Ropie dan juga Vicha dengan watak masing-masing.
Saksikan episod penuh bersama Nabil dan Ac menerusi Rumah 107 pada Jumaat, jam 9:00 malam di Astro Warna HD (saluran 107), Astro Warna (saluran 127) dan Astro Go.
#Nabil Ahmad #Rumah No 107
;