Hiburan
Peka Dengan Isu Semasa, Elfira Loy Ajak Peminat Membeli Sambil Beramal
Pelakon Elfira Loy mengakui jiwanya tersentuh saat inisiatif jenama tudung dari Indonesia yang berkolaborasi dengannya, Buttonscarves turut mahu menghulurkan sumbangan kepada mangsa wabak COVID-19.
Semua itu boleh dilakukan sambil beramal dengan membeli tudung koleksi The Maharani Series yang menyaksikan kerjasama Elfira dengan jenama tudung itu.
“Apabila pihak mereka membuat keputusan itu saya melihat ia satu langkah baik dan sangat bertepatan dengan situasi semasa.
“Saya percaya setiap daripada kita boleh memainkan peranan dan menyumbang dengan pelbagai cara.
“Pada mulanya saya dapat tahu pihak mereka sudah menyalurkan bantuan di Indonesia termasuk mengagihkan topeng muka selain sumbangan lain. Kini ia dipanjangkan di Malaysia pula. Kita pun negara serumpun,” katanya.
Dalam pada itu, Elfira terus murah rezeki apabila diberi kepercayaan sebagai duta atau menjalinkan kerjasama dengan produk.
Terbaru, tuahnya menjadi artis pertama dari Malaysia disunting bekerjasama dengan jenama tudung popular terbabit yang berpangkalan di negara seberang.
Elfira berkata, kerjasama mereka tercetus dengan sekelip mata dan tanpa diduga. Malah ia bagai dirahmati dan dipermudahkan.
“Saya sudah empat tahun bertudung. Dalam tempoh itu sudah beberapa kali menjadi duta atau bekerjasama dengan jenama tudung.
“Kolaborasi saya dengan jenama ini bermula apabila kami berbalas mesej di Instagram dan ia berlanjutan ke aplikasi WhatsApp. Pendek kata, dari awal lagi ia berjalan dengan lancar.
“Saya juga anggap ini rezeki anak sulung. Saya pula gemar berfesyen dan menyesuai padan gaya bertudung,” katanya lagi.
Bagi mereka yang mahu membeli sambil beramal, boleh layari laman web www.buttonscarves.com
Buat pembaca Gempak, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19.