Laman Utama
“Pelajar SPM Sekarang Beruntung Sebab Ada Aplikasi Bantu Pembelajaran, Tak Macam Kita Dulu…” – MK
Anggota kumpulan K-Clique, MK akui para pelajar sekarang lebih beruntung kerana terdapat pelbagai medium untuk membantu pembelajaran mereka.
Sungguhpun berdepan pandemik Covid-19, para pelajar khusunya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai kemudahan lain seperti pusat tuisyen secara atas talian.
Yang terbaru, MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin selaku duta dan ikon pusat tuisyen dan peningkatan akademik, PTTI berbangga apabila jenama berkenaan kini mempunyai aplikasi pembelajaran khas atas talian sendiri.
"Pelajar SPM zaman sekarang boleh saya katakan cukup beruntung kerana kehadiran aplikasi pembelajaran khas ini menjadi medium terbaik untuk memudahkan proses mencari dan menambah ilmu.
"Tambah pula dalam keadaan di mana kita sedang membiasakan corak menuntut ilmu atas talian secara total kerana situasi semasa pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.
"Bagi saya juga, corak pembelajaran dulu dan sekarang pasti ada beza. Kita sentiasa bergerak mengikut perubahan zaman dan arus semasa.
“Jujur memang saya sedikit mencemburui pelajar SPM saat ini kerana mereka boleh belajar dan mengakses ilmu bila bila masa dan di mana saja dengan aplikasi ini," katanya yang dilantik menjadi duta PTTI sejak Februari lalu menggantikan Mira Filzah.
MK berkata demikian ketika majlis pelancaran virtual aplikasi terbabit yang berlangsung pada 7 Ogos lalu di studio Hitman Group, Shah Alam.
Aplikasi yang mencipta sejarah baru buat PTTI itu dirasmikan mentor usahawan terkenal Datuk Wira Dr Azizan Osman.
Selain MK, artis popular seperti Zizan Razak, Nabila Razali, Iman Troye dan Tya Arifin turut hadir memeriahkan majlis secara virtual.
MK yang pernah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang didudukinya pada 2013 itu, turut memuji usaha PTTI dengan menghadirkan aplikasi berkenaan.
"Apa yang saya lihat dan boleh rumuskan aplikasi pembelajaran khas atas talian ini sangat ke depan. Ia seiring dengan norma baharu kita lalui sekarang di era pandemik.
"Saya yakin aplikasi ini akan jadi sesuatu yang sangat membantu pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM.
"Dengan ciri antara muka pengguna yang menari serta 'mesra' ia mampu menarik minat pelajar untuk memahami input yang dikongsi.
“Guru di PTTI juga boleh mengajar dengan interaktif sekali gus memudahkan proses penerimaan ilmu untuk pelajar. Terbukti selama ini pelajar yang dibantu PTTI berjaya mendapat keputusan cemerlang dan membanggakan," katanya
Untuk rekod MK mendapat 5A dan 3B dalam SPM. MK juga pernah menuntut dalam pengajian diploma bidang perniagaan di UiTM, Kota Kinabalu, Sabah dari tahun 2012 hingga 2015.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana berkata aplikasi tersebut dilancarkan sebagai usaha untuk mewujudkan ruang pembelajaran khas bagi pelajar SPM.
"Kita yakini aplikasi ini mampu terus mencakna perubahan iklim pembelajaran semasa saat ini. Pelajar SPM juga boleh belajar secara atas talian menerusi aplikasi. Malah mereka juga dapat menonton ratusan video ulang tahun teknik dan skil belajar secara percuma," katanya.
Menerusi pelancaran aplikasi itu juga pelajar SPM boleh melayari aplikasi www.MampuSkorSPM.com untuk memuat naiknya secara percuma.