Pelakon Ditahan Kerana Kritik Syarat Pemakaian Hijab
Seorang pelakon Iran iaitu Mohamad Sadeghi ditahan selepas mengkritik penguatkuasaan ketat terhadap pemakaian hijab dalam kalangan wanita.
Menurut Agensi Berita Tasnim, pelakon itu ditahan di kediamannya di Tehran dengan bantuan anggota bomba.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Twitter menunjukkan pegawai memasuki rumah Sadeghi semasa dia sedang membuat siaran langsung di media sosial.
Terdahulu, pelakon itu menyiarkan video mengkritik tindakan keras kerajaan Iran terhadap wanita yang tidak mematuhi kod berpakaian.
Pada Ahad, pihak berkuasa Iran mengumumkan polis akan menjalankan rondaan di seluruh negara untuk memastikan orang ramai mematuhi peraturan itu.
Undang-undang turut memperuntukkan hukuman lebih berat kepada mereka yang ingkar.
Pada musim luruh 2022, protes besar-besaran terhadap kepimpinan politik dan agama negara itu tercetus susulan kematian Mahsa Amini, yang meninggal dunia dalam tahanan polis selepas ditahan kerana melanggar kod berpakaian.