Hollywood
Pelakon Hawaii Five-O, Daniel Dae Kim Positif Covid-19
Aktor yang popular menerusi drama bersiri penyiasatan Hawaii Five-O, Daniel Dae Kim disahkan positif Covid-19/
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Kim menerusi akaun Instagramnya pada Khamis.
"Kelmarin saya telah disahkan positif Covid-19. Nampak gaya saya akan okey tetapi saya akan terus berkongsi perjalanan saya dengan anda agar ia menjadi sesuatu yang bermanfaat nanti.
"Harap anda semua kekal selamat dan bertenang," katanya.
Kim, 51, baru pulang dari penggambaran sebuah drama bersiri di New York ke Hawaii selepas produksi itu menutup operasi disebabkan pandemik Covid-19.
Dia mulanya rasa kurang sihat dan melalui proses kuarantin diri sendiri kemudiannya mendapatkan ujian pengesanan Covid-19 di Honolulu.
"Mujurlah kondisi saya bukan antara hidup atau mati," tambahnya yang merayu orang ramai untuk mengikuti langkah mengasingkan diri dan kerap mencuci tangan.
Kim melakonkan peranan pegawai polis bernama Chin Ho Kelly dalam drama rantaian Hawaii 5-O selain popular sebagai nelayan Korea Selatan Jin-Soo Kwon dalam Lost.
Selain Kim, antara selebriti antarabangsa yang disahkan positif Covid-19 adalah Tom Hanks, Idris Elba, Kristofe Hivju, Olga Kurylenko dan pemain bola keranjang, Kevin Durant.
Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!