Laman Utama
Pelakon & Hos Rugi Lebih RM100 Ribu, 11 Kenderaan Termasuk Porsche ‘Hilang’
Bintang terkenal Indonesia, Jessica Iskandar atau Jedar membuat laporan polis dan sidang media selepas baru ‘tersedar’ ditipu rakan bisnesnya.
Jedar bersama suaminya, Vincent, mengaku telah memulakan bisnes sewa kenderaan di Bali selepas berkenalan dengan seorang ‘wakil’ dari syarikat Trip ID bernama Christopher Stephanus Budianto atau Steven.
Perkenalan sejak tahun 2021 itu membawa kepada kesepakatan untuk Jedar dan Vincent menjalankan urus niaga menyewakan kenderaannya kepada Steven.
Menerusi laporan media tempatan termasuk CNNIndonesia, Jedar mendakwa selain kerugian wang ringgit, dia juga tidak tahu status sekitar 11 kenderaan yang dibeli lalu disewakan kepada lelaki tersebut.
“Kerugian yang dialami lebih dari RM100 ribu (US$30 ribu bersama 11 jenis kenderaan).
“Kenderaan itu adalah 5 unit Alphard, 2 Porsche, sebuah Mercedes S Class, sebuah Hammer, Land Cruiser (1) dan sebuah Mini Cooper”, jelas peguam artis tersebut, Fikri Gani dalam sidang media.
Menceritakan kronologi penipuan yang terjadi, Jedar memberitahu dia pada awalnya dijanjikan menjalin kerjasama dengan pihak Trip ID.
Tidak terfikir akan ditipu, dia menyewakan Alphard miliknya, selain membeli beberapa kenderaan lain yang dijual oleh Steven. Steven mendakwa kenderaan seperti Porsche dan Hammer yang dibeli Jedar dijual kerana ‘digadai’.
Rentetan itu mereka menjalankan bisnes sewa kenderaan, dengan Jedar dimaklumkan semua kenderaan miliknya digunapakai oleh ‘VVIP’ termasuk dari Kedutaan Arab Saudi di Bali.
Oleh kerana kenderaannya digunakan oleh pihak VVIP dan kerajaan, semua lesen dan dokumen penting dipegang oleh lelaki tersebut.
Dia mendakwa pada awalnya semua berjalan lancar dan menerima keuntungan bergantung kenderaan seperti dijanjikan.
Sehingga baru baru ini dia sedar ada sesuatu yang tidak kena selepas Steven menawarkan bisnes jual beli mata wang dan selepas membelinya, transaksi yang dijanjikan tidak wujud dalam akaun.
Kini kes penipuan tersebut telahpun diselidik oleh pihak berkuasa tempatan dengan pasangan ini mengaku pernah dapat bercakap dengan Steven yang sudah mengaku kesalahannya, namun berada di Singapura.