Laman Utama
Pelakon Law & Order, Mary Mara Meninggal Dunia Kerana Lemas
Pelakon yang cukup terkenal dalam beberapa drama siri termasuk ER, Nash Bridges dan Law & Order, Mary Mara dilaporkan meninggal dunia.
Mara meninggal dunia kerana lemas di sungai St. Lawrence di Cape Vincent, New York pada usia 61 tahun.
Menurut kenyataan pihak polis tempatan, Mara ditemui lemas di sungai tersebut pada Ahad selepas mendapat laporan kehilangannya sewaktu berenang di situ.
Pihak berkuasa mengatakan Mara meninggal dunia kerana lemas dan menolak sebarang kemungkinan lain seperti bunuh diri atau ada unsur jenayah. Bagaimanapun penyiasatan lebih terperinci masih dijalankan.
Sementara itu pihak keluarga Mara memberitahu aktres tersebut sedang bercuti bersama kakaknya, Martha Mara di rumah singgah mereka. Kediaman tersebut terletak di hadapan sungai, lapor Deadline.
Kematian Mara juga disifatkan sebagai sebuah kehilangan besar oleh pengurusnya, Craig Dorfman.
"Mary adalah salah satu aktres terbaik yang pernah saya temui. Saya masih ingat aksinya di atas panggung saat menampilkan Mad Forest di Broadway pada 1992," kenang Dorfman.
Untuk rekod, Mara debut dalam dunia televisyen pada tahun 1989 menerusi naskhah The Preppie Murder.