Berita

"Peluru Mengenai Pada Saluran Darah & Amat Sukar Untuk Dirawat" - Doktor Kongsi Pengalaman Rawat Mangsa Tragedi Christchurch

Rozaimi Zubaidi
22/03/2019
05:06 MYT
Sponsor Banner
"Peluru Mengenai Pada Saluran Darah & Amat Sukar Untuk Dirawat" - Doktor  Kongsi Pengalaman Rawat Mangsa Tragedi Christchurch
Pakar vaskular di Hospital Christchurch, Dr Adib Khanafer menceritakan keadaan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dirawatnya susulan serangan pengganas di masjid 15 Mac lalu.
Menurut laporan Astro Awani, Dr Adib, bapa kepada empat orang anak berumur antara tujuh dan 14 tahun, berkata ketika menjalankan tugasnya, dia membayangkan anak itu adalah anaknya.
"Saya berasa amat sedih sekali melihat seorang kanak-kanak di meja bedah dengan kecederaan vaskular yang serius,” kata Dr Adib Khanafer sambil menitiskan air mata.
“Peluru tersebut mengenai pada saluran darah dan amat sukar untuk dirawat. Peluru telah merosakkan pelvis dan bahagian arteri di bawah terpotong.
"Saya berjaya melakukan kerja saya dan mengawal emosi. Saya berjaya merawat kecederaan di arteri itu. Ia pastinya kemuncak kerjaya saya," kata Adib, seorang Muslim berketurunan Arab yang dilahirkan di England.
Kanak-kanak tersebut, Alen Alsati, kemudiannya dipindahkan ke hospital kanak-kanak di Auckland bersama bapanya yang menjalani rawatan rapi di sebuah hospital di Auckland.
Bapanya, Wasseim Alsati, juga cedera dalam insiden tragedi solat Jumaat itu. Dia ditembak tiga kali dan turut menjalani beberapa pembedahan.
Dr Adib berkata, dia mengenali dua orang yang terkorban dalam serangan di masjid itu, salah seorang daripadanya merupakan pesakitnya.
Kejadian di dua masjid di Christchurch pada Jumaat minggu lalu mengorbankan 50 nyawa dan mencederakan lebih 50 orang, majoritinya umat Islam yang sedang bersedia untuk mengerjakan solat.
Suspek, Brenton Tarrant, warga Australia berusia 28 tahun, seorang pengamal 'white supremacist' yang tinggal di Dunedin, New Zealand, telah didakwa di mahkamah.
Sumber: Astro Awani
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar