Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Pemain Biola Terpaksa Berpuasa Untuk Elak Datang Haid - "RM15 Boleh Beli Ayam Mentah Untuk 4 Hari Makan"

Amri Hassan 13/11/2021 | 07:50 MYT
Pemain biola popular, Endang Hyder terpaksa berpuasa untuk mengelakkan datang haid demi menjimatkan wang daripada membeli tuala wanita.
Dedah Endang atau nama sebenarnya Ell Zain Hyder menerusi blog pedulimerah, keperitan hidupnya bermula apabila pandemik COVID-19 melanda negara sejak Mac tahun lalu.
"Keluarga dan saya masih mampu bertahan kerana simpanan keluarga pada ketika itu boleh dikatakan mencukupi untuk kami bertahan selama 2 tahun bagi melengkapi keperluan 6 orang.
"Namun kesihatan ayah saya merosot sejak April 2020 yang mana mempengaruhi keadaan kewangan kami baik simpanan mahupun kewangan semasa.
"Keperluan perubatan, kos berulang alik ke hospital setiap hari makin menyukarkan kami bertahan sewaktu pandemik melanda," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Kata Endang lagi, penggunaan tuala wanita pakai buang yang diperlukannya setiap bulan menelan belanja sekitar RM60 dengan kekerapan ganti setiap tiga jam.
Jadi, dia perlu mencari solusi untuk tidak perlu membeli tuala wanita bagi menyalurkan wang terbabit kepada barangan keperluan keluarga lain seperti barang dapur.
"Sekitar Julai 2020, saya menyedari saya perlu mengurangkan kos bagi memenuhi keperluan makanan ibu bapa dan anak-anak maka saya beralih ke jenama tuala wanita yang lebih murah dan penggunaan jenama tuala wanita murah ini hanya menelan belanja sekitar RM15 sepanjang saya kedatangan haid.
"RM15 merupakan nilai yang kecil bagi mereka yang mampu, namun bagi keadaan saya ketika itu yang merasakan nilai RM15 boleh dibelanjakan untuk seekor ayam mentah kecil yang mampu mengenyangkan ahli keluarga selama 4 hari, maka saya mencari solusi agar saya tidak perlu membeli tuala wanita.
"Ada yang beranggapan kain batik adalah solusi lainnya, namun keperluan membersihkan kain batik serta ‘rawatan’ lain sewaktu wanita kedatangan haid masih memerlukan masa, tenaga dan sumber kewangan.
"Rawatan lain ini adalah keadaan wanita yang sewaktu didatangi haid memerlukan pil menstruasi, pad panas bagi keselesaan perut serta perawatan bagi kebersihan vagina sewaktu tempoh menstruasi.
"Oleh kerana saya pernah mengalami gangguan polar pemakanan sewaktu berusia 20-an, maka solusi lain yang saya terfikir pada ketika itu adalah dengan 'berpuasa' agar menstruasi saya terganggu seterusnya akan mengakibatkan saya tidak didatangi haid.
"Ini bukan sahaja menjimatkan wang bagi keperluan tuala wanita, namun keperluan makanan saya boleh berikan kepada ahli keluarga yang lain," ceritanya.
Endang memahami situasi wanita yang memilih penyelesaian untuk hamil kerana tidak mahu didatangi haid. Akui Endang, tujuan tersebut baik memandangkan harga tuala wanita yang mahal.
Justeru, Endang meletakkan harapan agar pihak terbabit termasuk kerajaan mengambil keputusan terbaik untuk menyalurkan keperluan tuala wanita berkualiti kepada isi rumah seluruh Malaysia dan membantu wanita untuk berdepan serta menguruskan kesihatan dan kebersihan diri ketika menstruasi.
Sumber: Pedulimerah
Foto: @endanghyder

Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!

!Telegram Gempak***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran

#Viral #Haid #Biola #Endang Hyder #Kemiskinan Haid #Menstruasi
;