Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Pemain Dram Rolling Stones Meninggal Dunia Usia 80 Tahun

Mya Amri 25/08/2021 | 03:35 MYT

Pemain dram kumpulan rock lagenda dunia Rolling Stones, Charlie Watts meninggal dunia pada usia 80 tahun.

Berita sedih itu diumumkan oleh pegawai medianya di London, Bernard Doherty.

Menurut kenyataan jurucakapnya, Watts meninggal dunia di sebuah hospital di London pada Selasa pagi.

“Dengan rasa penuh dukacita kami mengumumkan pemergian Charlie Watts yang kami sayangi.

"Watts meninggal dunia di sebuah hospital di London hari ini (semalam) di sisi keluarganya. Dia seorang suami, bapa, datuk dan juga anggota Rolling Stones yang sangat dihargai.

“Watts juga antara pemain dram terhebat untuk generasinya… Kami memohon agar keluarganya, ahli kumpulan dan teman rapatnya tidak diganggu ketika saat sukar ini,"katanya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun punca kematian mendiang tidak dinyatakan.

Awal bulan ini, Rolling Stones mengumumkan Watts tidak dapat menyertai konsert jelajah mereka di Amerika Syarikat kerana mengalami masalah kesihatan.

Selain Watts, Rolling Stones turut dianggotai Mick Jagger (penyanyi), Keith Richards (gitar) dan Ronnie Wood (gitar).

Watts juga turut diiktiraf sebagai antara pemain dram rock terbaik sepanjang zaman.

Pemain gitar asal mereka, Brian Jones meninggal dunia pada 1969 dan pemain bass, Bill Wyman meninggalkan kumpulan itu pada 1993.

Sebelum ini, Watts pernah menderita barah tekak pada tahun 2004.

Sumber: Variety / CNN

Kredit Foto: Getty Images NBC News / The Guardian

#Meninggal Dunia #Artis Hollywood #Lagenda #Charlie Watts #Rolling Stones
;