Laman Utama
Pemandu Lori Positif Dadah; Ramai Bersyukur Mangsa Nahas Berjaya Keluar Dari Kereta Remuk Teruk
Pemandu lori yang terbabit dalam insiden ngeri yang membabitkan sebuah lori merempuh lima kenderaan di Jalan Ipoh, Sentul, petang tadi disahkan positif dadah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata siasatan awal mendapati lori yang dipandu pemuda berusia 25 tahun itu bergerak dari Jalan Duta menghala ke Sentul.
Katanya, nahas itu mengakibatkan seorang pemandu Perodua Myvi berusia 45 tahun cedera ringan dan ditempatkan di zon hijau Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
"Pemandu kenderaan lain sudah menerima rawatan dan tiada kecederaan serius dilaporkan. Semua mereka dibenarkan pulang kecuali pemandu lori yang ditahan untuk siasatan," lapor Berita Harian.
Menerusi nahas yang berlaku pada 2.40 petang itu dan menjadi tular dalam laman sosial, kelihatan sebuah lori berwarna kuning bergerak laju sebelum dipercayai hilang kawalan.
Kenderaan berat itu kemudian merempuh dua Perodua Myvi dan masing-masing Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL yang berhenti di lampu isyarat merah.
Insiden itu telah menyebabkan sebuah kereta Perodua Myvi remuk teruk. Namun, pantang maut sebelum ajal, pemandu tersebut yang dibantu oleh pemandu lain telah keluar daripada kenderaannya dalam keadaan selamat.
Sebaik pemandu lelaki berbaju kelabu tersebut berjaya keluar dari keretanya yang remuk teruk, ada pemandu yang membantu kelihatan menepuk tangan.
Aksi tular itu dirakam oleh ramai pengguna jalan raya yang berada di tempat kejadian, turut disaksikan oleh Gempak.
Terdahulu, nahas yang dipercayai berlaku pada jam 2.34 petang itu telah dirakamkan kamera perakam video (dashcam) dengan durasi 55 saat yang tular di media sosial, termasuk Facebook.
Rakaman berdurasi 55 saat itu menunjukkan kemalangan membabitkan sebuah lori dari belakang merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.
Difahamkan, tiada individu dilaporkan maut dalam kejadian kemalangan itu.
Kredit Foto: Sinar Harian