Hiburan
"Peminat Akan Marah Kalau Tarik Diri .." - Khai Bahar
Penyanyi Khai Bahar tidak akan menarik diri jika tercalon lagi untuk Anugerah MeleTOP Era (AME) tahun hadapan biarpun sudah dua tahun berturut-turut memenangi kategori Top Top MeleTOP Lelaki.
Menurut Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, pencalonan ini membuatkan hubungannya bersama peminat lebih rapat.
"Saya takut peminat akan marah kalau saya tarik diri untuk AME tahun hadapan.
"Saya berserah sahaja kepada peminat untuk mengundi saya jika tercalon lagi.
"Saya akan meneruskannyankerana ia membuatkan hubungan saya bersama peminat lebih rapat," katanya kepada Gempak.
Khai ditemui di Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME2019) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Luluh ini tidak terbeban dengan kemenangan yang telah dicapai dalam usia semuda ini.
"Saya tidak rasa terbeban kerana ini adalah bonus dalam karier muzik saya.
"Ini semua adalah usaha peminat-peminat saya. Saya akan meneruskan kerana tidak ingin terhenti di sini.
"Malam ini telah membuktikan mereka masih setia bersama saya serta memberi peluang untuk saya menjadi lebih baik," katanya lagi.
Khai berjaya merangkul dua trofi menerusi kategori Penyanyi MeleTOP dan Top Top MeleTOP Lelaki di AME2019.
AME2019 dihoskan oleh Neelofa, Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu telah berlangsung dengan meriah.
AME2019 turut menobatkan Siti Nordiana sebagai pemenang Top Top MeleTOP Wanita pada edisi penganjuran kali ini.
Bertemakan Glam, AME 2019 bersiaran secara langsung pada jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Ria HD (123) dan Maya HD (134).