Hollywood
Pemuzik Batal Konsert Sebab Instrumen Tidak Dibenarkan ‘Duduk’ Dalam Pesawat
Seorang pemuzik yang menjadi terkenal selepas membuat persembahan pada majlis perkahwinan Putera Harry dan Meghan Markle membatalkan konsert yang dijadual berlangsung di Kanada kerana pihak penerbangan tidak membenarkan dia membawa naik bersama instrumen muzik ke dalam pesawat.
Instrumen tak boleh bawa masuk dalam pesawat
Sheku Kanneh-Mason diketahui telah membuat tempahan awal untuk membolehkan cello miliknya ‘duduk’ bersama di dalam pesawat.
Namun pihak penerbangan tidak membenarkan instrumen tersebut di bawa naik dan ‘duduk’ bersamanya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan bersama kakaknya seorang pemain piano, Isata Kanneh-Mason, mereka sepatutnya berlepas ke Toronto dari Amerika Utara dengan menaiki sebuah penerbangan terkenal, Air Canada.
“Pertama penerbangan kami ditangguhkan kemudian dibatalkan dan cello saya juga tidak dibenarkan di bawa naik ke pesawat.
“Selepas sembilan jam berada di lapangan terbang kami sedar tidak mungkin dapat berlepas. Kami berharap agar pihak penerbangan boleh mempertimbangkan cara penumpang membawa naik instrumen berharga ke dalam pesawat,” katanya seperti dilaporkan CNN.
Mohon maaf terpaksa batal konsert
Mason juga meminta maaf kepada penggemarnya kerana terpaksa membatalkan konsert lantaran insiden tersebut.
“Kami sangat berduka untuk mengumumkan tidak dapat membuat persembahan di Koerner Hall kerana masalah yang dihadapi,” katanya dalam kenyataan sama.
Instrumen cello yang dipinjamkan kepada Mason dilaporkan telah dibuat pada tahun 1700 oleh Venetian luthier Matteo Goffriller. Ia mencecah nilai RM14 juta di pasaran.
Sementara itu pihak Air Canada menerusi peraturan yang dikeluarkan membenarkan penumpang membawa naik bersama insturmen dengan syarat tidak melebihi ketinggian 64 inci dan melewati berat 36 kilogram.